KUALA LUMPUR: Persatuan Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFTTA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi penjelasan berhubung status kes siasatan jemaah umrah yang tidak mempunyai rekod vaksin COVID-19.

Presiden SAFTTA Dr Fathir Badri Alhadad melahirkan rasa terkilan hari ini memandangkan selepas empat hari kenyataan dibuat, KKM masih menyiasat perkara tersebut.

Agensi pelancongan itu juga mempersoalkan sama ada 14 peratus yang tidak mempunyai rekod vaksin itu benar-benar datang daripada kalangan jemaah umrah.

"Lebih lama masa KKM ambil, lebih teruk persepsi masyarakat terhadap jemaah umrah.

"Dapat dibaca dalam media sosial, rata-rata masyarakat menyalahkan jemaah umrah kerana sanggup menipu untuk mengerjakan ibadah tersebut, sehingga menarik perhatian beberapa mufti untuk memberikan komen.

"Oleh yang demikian, SAFTTA menuntut pihak KKM segara memberikan kenyataan berhubung perkara ini.

"Jika memang terbukti ia dikendalikan oleh agensi pelancongan, kami akan menyokong untuk agensi tersebut diambil tindakan tegas oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menyatakan siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14 peratus atau 17 kes tiada vaksinasi.

Jelasnya, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan.

Mengulas lanjut, SAFTTA melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Khairy bahawa jemaah umrah yang tidak divaksin itu dikendalikan oleh agensi pelancongan.

"Untuk makluman, SOP untuk seseorang jemaah mengerjakan umrah yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi adalah sangat ketat.

"Maklumat jenis vaksin serta tahap kesihatan perlu dimasukkan ke aplikasi mereka yang dikenali sebagai Muqem 72 jam sebelum jemaah memulakan penerbangan.

"Aplikasi ini juga turut bersambung dengan dua aplikasi lagi iaitu Tawakalna dan Eatamarna yang mana informasinya saling berpaut untuk mendapatkan slot mengerjakan umrah, memasuki raudhah
dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi," ujarnya.

Sehubungan itu juga, SAFTTA menyambut baik siaran media MOTAC pada 9 Jan yang melahirkan keprihatinan terhadap nasib agensi pelancongan menghadapi waktu-waktu sukar ketika ini.

"Kami juga mengharapkan satu perbincangan berkaitan SOP dapat diadakan dalam masa terdekat ini.

"Kami juga telah mempunyai beberapa cadangan untuk dikongsikan yang mungkin dapat membantu pihak MOTAC dan Majlis Keselamatan Negara mengatasi permasalahan jemaah umrah ini," jelasnya.