KULIM: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu lagi kluster pendidikan baharu di daerah Kulim iaitu Kluster Dah Sungai Balak.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, kluster baharu melibatkan seramai 37 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulim disahkan positif COVID-19 pada Sabtu.

Katanya, dengan pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster pendidikan di negeri ini sebanyak 10 kluster berbanding sembilan kluster pada Khamis lalu.

“Selain itu terdapat 19 lagi kes positif dikesan dari kluster pendidikan yang sedia ada.

“Kluster pendidikan pertama dikesan adalah pada 11 Januari iaitu Kluster Dah Che Bema di Kompleks Al-Hidayah, Desa Keda diikuti sembilan lagi kluster lain sehingga hari ini.

“Manakala, kluster pendidikan kedua dikesan pada 17 Januari iaitu Kluster Dah Jalan Merbau diikuti dengan Kluster Dah Penyarum, Kluster Dah Teluk Teduri, Kluster Dah Jalan Pantai, Kluster Dah Padang Halban, Kluster Dah Sungai Kob dan Kluster Dah Sungai Limau,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut Dr Othman, kesemua sekolah ini telah diarah tutup selama seminggu dan ada yang lebih bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai termasuk warga institusi pendidikan agar terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.