Skip to main content

Malaysia

Polis Kelantan buka siasatan dalaman kebakaran motosikal polis trafik

Siasatan turut dijalankan serentak dengan proses forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian._Sinar Harian
Siasatan turut dijalankan serentak dengan proses forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian. - Gambar/ Sinar Harian

KOTA BHARU: Polis Kelantan menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur lain di sebalik kebakaran melibatkan bangunan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh awal pagi Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, siasatan turut dijalankan serentak dengan proses forensik oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut beliau, pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden itu kira-kira jam 2.15 pagi sebelum tindakan segera diambil dengan menghubungi pihak bomba.

"Pasukan bomba kemudian berjaya mengawal dan memadam kebakaran tersebut.

"Kejadian melibatkan empat buah motosikal berkuasa tinggi milik PDRM (Polis Diraja Malaysia) serta sebuah motosikal milik anggota polis," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau memberitahu, jumlah kerugian dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik JBPM.

Ujarnya, dalam masa yang sama, pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur-unsur lain berkaitan kejadian tersebut.

Mohd Yusoff memberitahu, bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kepada masyarakat, segala urusan kaunter dan operasi BSPT akan diteruskan seperti biasa melalui penempatan sementara.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial sehingga boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa.

"Kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar," katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video

Advertisement