Dakwa Annuar Musa langgar SOP: Mohon maaf atau saya buat laporan polis - MP Kepong

Hakim Rahman
Februari 14, 2021 04:05 MYT
Pada Sabtu Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa menghadiri program Urban Farming di Wilayah Persekutuan di Pusat Gelandangan Sentul . - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa digesa untuk memohon maaf dan menerima hukuman atas tindakannya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata tindakan terhadap Annuar akan membuktikan bahawa tiada penguatkuasaan “dua darjat” melibatkan rakyat biasa dan juga ahli politik.
“Mengapa Annuar Musa, yang melanggar SOP secara terang-terangan tidak dikenakan tindakan? Apakah alasan beliau tidak dikenakan undang-undang?
“Adakah para menteri individu berstatus maksum sehingga apa sahaja yang mereka lakukan dibiarkan terlepas begitu sahaja?” soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Gesaan itu dibuat selepas gambar Annuar bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tersebar dalam talian.
Foto itu memaparkan sepanduk menyambut Annuar ke majlis program Pertanian Bandar bertarikh 13 Februari yang digantung di belakang menteri itu.
BACA: Program pertanian bandar perlu dikomersial - Annuar Musa
PKP | Annuar Musa digesa mohon maaf,terima hukuman
Berdasarkan SOP PKP semasa, makan bersama dibenarkan, tetapi terhad kepada dua orang bagi setiap meja.
Tambah Lip Eng, Annuar mempunyai tempoh 24 jam untuk mohon maaf dan menerima tindakan undang-undang tegas sama seperti orang lain.
“Sekiranya tiada respons dari beliau atas perihal ini, akan saya laporkan kes ini kepada pihak polis dan saya akan mendesak tindakan yang sewajarnya dikenakan ke atasnya,” katanya lagi.
Astro AWANI telah menghubungi Annuar dan pegawainya untuk mendapatkan maklum balas.
#Tan Sri Annuar Musa #SOP #menteri #undang-undang #rakyat #perintah kawalan pergerakan #Annuar Musa #COVID-19 #pandemik #PKP #langgar SOP #Ahli Parlimen Kepong #Lim Lip Eng b