KUALA LUMPUR:Kementerian Wilayah Persekutuan akan memperkasa program pertanian bandar supaya hasil tanaman yang diusahakan komuniti bandar dapat dikomersialkan dan aktiviti yang dijalankan itu mampu bertahan lama.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak mahu mereka yang mengusahakan pertanian bandar itu hanya bergantung pada bantuan kerajaan semata-mata dan tiada modal pusingan yang kukuh bagi mengekalkan program yang dimulakan itu.

"Saya mengambil peluang melihat perjalanan 'urban farming' yang telahpun diusahakan penduduk bandar dan saya berpandangan mereka masih perlu dibimbing supaya program ini ada kemampanannya.

"Ada pertanian bandar yang diusahakan dalam skala kecil untuk dimakan keluarga tapi kita perlu juga ada pihak supaya hasilnya dapat dipasarkan.

"Jadi perkara ini akan dipantau oleh kementerian dan ada juga penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantunya," kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Sementara Gelandangan Komuniti Sentul Perdana selepas melakukan tinjauan pertanian bandar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Malaysia di Desa Petaling pada Sabtu.

Annuar berkata ketika ini terdapat 21 lokasi program pertanian bandar di seluruh Kuala Lumpur dan kementerian itu mengenal pasti 52 lagi lokasi lain dengan keluasan keseluruhan 27 hektar yang boleh diusahakan untuk program tersebut.

Dalam pada itu, Annuar berkata kementerian tersebut juga akan melaksanakan projek rintis pertanian bandar membabitkan 23 gelandangan yang dipilih untuk mengusahakan tanah lapang di Anjung Kelana, Taman Desa bermula 1 Mac depan.

Beliau berkata Anjung Kelana yang baru diwujudkan itu juga berkonsep transit sementara gelandangan seperti Anjung Singgah, namun mereka perlu terlibat mengusahakan pertanian bandar di tanah lapang bersebelahan petempatan tersebut.

"Konsep membantu gelandangan tidak lagi sekadar memberi keperluan seperti memberi makanan, tapi membantu mereka membina keyakinan melalui keusahawanan seperti urban farming. Jadi mereka tidak akan kekal selamanya di situ," katanya.

Selain itu, Annuar berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga akan melakukan kajian untuk mewujudkan 'central kitchen' kerana ada sebahagian daripada gelandangan yang mahir memasak tetapi tidak tahu menjual dan sebagainya.

"Tujuannya ialah untuk mereka (gelandangan) keluar daripada gaya hidup itu, kalau kita beri kaunseling sahaja nampaknya tidak selesai, jadi kita cuba buat secara praktikal melibatkan mereka," katanya.

Beliau turut mengulas laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini yang menyatakan pengangguran dalam kalangan berpendapatan rendah yang tinggal di pangsapuri kos rendah meningkat sekali ganda sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tahun lepas.

Annuar berkata beliau dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah bersetuju mewujudkan jawatankuasa sementara bagi melihat secara khusus kaedah yang boleh digunakan untuk menangani isu tersebut.

-- BERNAMA