KUALA LUMPUR: Dakwaan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa kes membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan digugurkan susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada menteri dalam kabinetnya terpalit rasuah adalah satu andaian yang amat tidak bertanggungjawab.

Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berkata dakwaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu juga prejudis kepada mahkamah yang memperlihatkan seolah-olah institusi kehakiman dan perundangan negara tidak mempunyai kredibiliti.

Beliau berpandangan Syed Saddiq gagal memahami konteks sebenar ucapan Perdana Menteri ketika Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Pulau Pinang, pada Ahad lepas yang memaklumkan berdasarkan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiada mana-mana menteri di dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan terpalit skandal rasuah.

"Jelas kenyataan Syed Saddiq ini prejudis kepada mahkamah. Beliau tidak seharusnya membuat andaian Ahmad Zahid akan dibebaskan hanya bersandarkan kepada kenyataan Anwar tersebut kerana jika sedemikian, ia membawa maksud seolah-olah perundangan dan mahkamah kita dikawal oleh Eksekutif.

"Selain dibuat di luar konteks kenyataan sebenar Perdana Menteri, saya lihat dakwaaan Syed Saddiq ini jelas tidak bertanggungjawab seolah-olah beliau mendahului mahkamah ketika pendakwaan kes Ahmad Zahid masih berjalan," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa kenyataan Perdana Menteri bahawa tiada menteri dalam Kabinetnya terpalit rasuah, memberi isyarat seolah-olah kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, akan digugurkan selepas Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Syed Saddiq juga mendakwa kenyataan itu memberi persepsi salah, terutamanya ketika beberapa institusi berada di bawah kawal selia Perdana Menteri termasuk Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu berkata Anwar hanya menegaskan tiada pimpinan Kerajaan Perpaduan yang terlibat dengan salah laku mahupun rasuah sepanjang lapan bulan pentadbiran dan semua pihak sedia maklum bahawa kes rasuah melibatkan Ahmad Zahid berlaku sebelum Kerajaan Perpaduan terbentuk.

Mazlan berkata selaku Ahli Parlimen yang bertindak sebagai penggubal undang-undang, Syed Saddiq seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak membuat andaian yang mendorong masyarakat tidak meyakini keadilan dalam proses pengendalian kes-kes mahkamah.

"Jika Syed Saddiq cuba memberi gambaran mahkamah 'diikat' oleh kerajaan atau Anwar, bagaimana pula dengan kes beberapa tokoh politik yang dibebaskan dan dijatuhkan hukuman semasa di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, adakah ini bermakna ada campur tangan Perdana Menteri, pastinya tidak...jadi saya lihat apa yang dibangkitkan Presiden MUDA itu tidak lebih dari sekadar bermain persepsi sahaja," katanya.

Sementara itu, peguam Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Madhzar berkata, beliau percaya kenyataan Anwar bermaksud sepanjang beliau menjadi PM, tiada kes baharu didakwa terhadap Ahmad Zahid menjadikan Kerajaan Perpaduan yang terbersih sepanjang ia berkuasa dan ini sekali gus menambah keyakinan rakyat untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Anwar pernah mengingatkan bahawa beliau tidak akan mencampuri urusan mahkamah berkaitan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan," kata peguam itu.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent pula berkata sepertimana kes-kes jenayah lain, Ahmad Zahid telah mengemukakan representasinya kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan semula pertuduhan terhadapnya dan adalah satu perkara yang normal.

Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bebas daripada Perdana Menteri dan Kabinet. Peguam Negara akan (seperti dalam kes-kes lain) mengkaji kes ini, bukti dan fakta dan membuat satu keputusan. Jangan lupa, pertuduhan ini dkenakan beberapa tahun dahulu.

Mungkin ada perubahan fakta, mungkin saksi meninggal dunia, berpindah atau tidak mahu bekerjasama. Bukti baharu mungkin diperoleh. Semua ini akan dipertimbangkan Peguam Negara sebelum beliau membuat keputusan," katanya sambil menambah Peguam Negara tidak akan dipengaruhi oleh sesiapa pun dan akan membuat keputusan semata-mata berdasarkan bukti.

-- BERNAMA