Tuduhan tidak berasas.

Itu reaksi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan bahawa kerajaan negeri akan mengenakan cukai ke atas penggunaan jeti nelayan di Selangor.

Mohamed Azmin mendakwa tuduhan itu adalah tindakan Barisan Nasional (BN) untuk meraih sokongan golongan nelayan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri sebaliknya berhasrat membangunkan kawasan jeti yang uzur dan dibina secara haram sebelum diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Tuduhan ini tidak benar sama sekali. Kerajaan negeri tidak melaksanakan (langkah) seperti yang didakwa oleh UMNO dan BN. Ini tuduhan tidak berasas, tuduhan ini semata-mata untuk meraih sokongan daripada warga nelayan,” kata Mohamed Azmin ketika ditemui di sini, Khamis.

BACA: Caj tambatan jeti masih di peringkat kajian

“Apa yang berlaku sebelum ini, kerajaan negeri melihat pembangunan jeti-jeti dapat diuruskan dengan baik dan selamat kerana banyak jeti yang ada ketika ini. Jeti haram dibina tanpa kelulusan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berwajib.

“Keadaan jeti ini amat uzur dan tidak memberi perlindungan dan amat bahaya kepada warga nelayan. Jadi, cadangan kerajaan ialah jeti dapat dibangunkan dan diserahkan kepada pihak LKIM untuk menguruskannya, tetapi ketika ini kita belum lagi melaksanakan apa yang dituduh pihak BN," ujar Mohamed Azmin.

Ujarnya lagi, kerajaan Selangor mengambil berat tentang permasalahan nelayan dan akan terus membela nasib mereka.

Beliau berkata demikian kepada media apabila diminta mengulas dakwaan bahawa kerajaan Selangor akan mengenakan cukai jeti ke atas nelayan di negeri itu.

Pada Rabu, pengerusi LKIM, Datuk Irmohizam Ibrahim dilaporkan berkata tindakan kerajaan Selangor mahu mengenakan cukai jeti RM600 setahun kepada nelayan hanya akan membebankan mereka.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Selangor menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan.

Mohamed Azmin ditemui selepas menziarahi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang pada Khamis malam.

Beliau diiringi Naib Presiden PKR Syamsul Iskandar Mohd Akin serta pimpinan PKR Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau meluangkan masa kira- kira 15 minit dan memaklumkan keadaan Mohd Bashah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata bertambah baik.