DUNIA
Mesir adakan pilihan raya senat selama 2 hari, lebih 69 juta pemilih layak mengundi

Seorang pengundi membuang undi di sebuah sekolah yang dijadikan pusat pengundian sempena hari pertama pilihan raya Senat di Kaherah, Mesir, pada Isnin. - Gambar Reuters
KAHERAH/ ISTANBUL: Mesir memulakan proses pengundian pada Isnin bagi Pilihan Raya Senat, iaitu dewan tertinggi parlimen, dengan lebih 69 juta rakyat layak mengundi dalam tempoh dua hari, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita kerajaan MENA.
Pusat pengundian dibuka pada pukul 9 pagi waktu tempatan (0700 GMT) di lebih 8,000 lokasi di seluruh negara.
Proses pemilihan itu diselia oleh pihak berkuasa kehakiman dan akan berlangsung sehingga petang Selasa.
Seramai 424 calon bertanding bagi merebut 100 kerusi melalui sistem pencalonan individu, terdiri daripada 183 calon bebas dan 241 calon mewakili parti.Sebanyak 100 kerusi lagi ditandingi melalui satu senarai nasional dikenali sebagai "Senarai Nasional untuk Mesir" yang meliputi empat kawasan pilihan raya utama negara itu.
Pihak Berkuasa Pilihan Raya Kebangsaan memaklumkan, lebih 9,000 anggota daripada Pihak Berkuasa Tuntutan Undang-Undang Negara dan Pihak Berkuasa Pendakwaan Pentadbiran - dua badan kehakiman - mengetuai 8,825 jawatankuasa kecil dalam 8,286 pusat pengundian, dibantu kira-kira 65,000 petugas.
Sembilan organisasi antarabangsa, 59 pertubuhan masyarakat sivil tempatan dan delegasi daripada 20 perwakilan diplomatik turut memantau proses pilihan raya itu.
Hampir 25,000 pemerhati media yang bertauliah dari dalam dan luar negara turut membuat liputan pengundian.
Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan Perdana Menteri Mostafa Madbouly masing-masing mengundi di "gabenorate" Kaherah dan Giza.
Selepas mengundi, Madbouly menyeru rakyat supaya "menyertai secara aktif dan bertanggungjawab dalam tugas nasional ini."
Rakyat Mesir di luar negara telah mengundi pada Jumaat dan Sabtu lepas di 136 pusat mengundi di 117 negara.
Keputusan awal dijangka diumumkan pada 12 Ogos, diikuti dengan kempen untuk pusingan kedua pada hari sama.
Undian bagi pusingan kedua akan diadakan dari 25 hingga 26 Ogos di luar negara, manakala pengundian dalam negara dijadual berlangsung dari 27 hingga 28 Ogos.
Keputusan rasmi dijangka disiarkan dalam warta kerajaan pada 4 Sept.
Senat yang mempunyai 300 ahli berperanan sebagai badan penasihat utama, dengan dua pertiga ahlinya dipilih dan selebihnya dilantik oleh Presiden.
Mengikut Perlembagaan, dewan ini bertanggungjawab meneliti cadangan pindaan Perlembagaan, rancangan pembangunan kerajaan, perjanjian berkaitan kedaulatan negara dan rang undang-undang yang dirujuk oleh Presiden atau Dewan Perwakilan iaitu Dewan Rendah Parlimen.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami