PORT DICKSON: Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan segelintir pihak bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memanipulasi jumlah kes positif COVID-19 yang semakin meningkat ketika ini adalah tidak berasas.

Beliau berkata isu itu tidak timbul kerana KKM menerima laporan daripada setiap jabatan kesihatan negeri mengenai kes COVID-19 di lokasi masing-masing setiap hari.

"Saya tidak tahu daripada mana mereka mendapat laporan (manipulasi data) kes COVID-19 ini. KKM akan maklumkan jumlah kes positif harian setiap pukul 12 tengah hari, hasil daripada jumlah yang diberikan oleh setiap negeri," katanya selepas menghadiri majlis berbuka puasa berbuka puasa bersama warga Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (PLDTD) di Port Dickson, malam ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan KKM memanipulasi data peningkatan kes COVID-19 ketika ini.

Katanya penggunaan hospital, katil di hospital serta kemasukan pesakit di unit rawatan rapi (ICU) bertambah, maka ia menunjukkan ada peningkatan kes COVID-19.

Katanya peningkatan kes tidak hanya berlaku di negara ini sahaja tetapi di seluruh dunia malah beberapa negara di benua Eropah telahpun melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan peningkatan kes.

Ismail Sabri turut mengulangi rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan melonggarkan beberapa ketetapan.

Beliau sekali lagi mengingatkan sebarang dakwaan tidak benar mengenai isu COVID-19 boleh dikenakan tindakan oleh pihak polis.

-- BERNAMA