MALAYSIA
Dakwaan lambakan pelajar China di universiti awam tidak benar - Zambry

Zambry menegaskan tuduhan program asasi di UA dipenuhi pelajar dari China adalah tidak betul dan kerajaan tidak pernah 'mengorbankan' kuota pelajar tempatan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir hari ini menyangkal dakwaan kononnya lambakan pelajar dari China menutup peluang kemasukan pelajar tempatan ke universiti awam (UA) di negara ini.
Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan dakwaan lambakan pelajar China menutup peluang pelajar tempatan ke universiti awam adalah tidak benar, dan kuota pelajar Malaysia tetap diutamakan mengikut dasar UPU.
- Kehadiran pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara adalah selaras dengan dasar pengantarabangsaan, dan mereka memilih Malaysia kerana sistem pendidikan yang dipercayai serta kompetitif.
- Dakwaan sedemikian disifatkan sebagai tidak membina dan boleh menimbulkan keresahan awam, justeru disarankan agar isu dibincang secara tertutup dan tidak dipolitikkan di Parlimen.
"Menafikan hak anak-anak tempatan kita itu tidak benar, kita tidak pernah langsung mengorbankan dari segi kuota yang ditetapkan UPU," katanya kepada pemberita selepas merasmikan IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA) 2025 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Parlimen semalam yang kononnya pelajar dari China lebih ramai masuk UA kerana ada duit berbanding rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia kini menerima pelajar antarabangsa dari lebih 150 negara termasuk di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) selaras dengan dasar pengantarabangsaan dan mereka memilih Malaysia kerana sistem pendidikan dipercayai dan kompetitif.
"Mereka datang memilih Malaysia kerana yakin dengan sistem pendidikan Malaysia, mereka tidak pergi ke tempat lain kerana mungkin sebelum ini mereka pergi ke dunia barat tetapi ada persaingan disebabkan masalah geopolitik," katanya.
Beliau juga menyifatkan dakwaan sedemikian hanya menimbulkan keresahan awam serta mencetuskan polemik yang tidak memberi manfaat kepada negara.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak yang mempunyai persoalan termasuk mana-mana Ahli Parlimen mengenai isu tersebut agar mengadakan pertemuan dan memilih jalan perbincangan bagi mencari penyelesaian serta tidak terus dipolitikkan di Parlimen.
"Saya tidak mahu cuba mewujudkan polemik yang merugikan apabila kita membuat sesuatu tuduhan, kita akan menimbulkan pula satu keresahan yang lain," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami