Dakwaan pecah amanah Abu Sahid di Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah KL

Abu Sahid didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan pecah amanah bernilai lebih RM145 juta membabitkan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke KLIA iaitu MEX II, tujuh tahun lalu. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lima tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM458.5 juta yang dihadapi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed, 74, akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen, di sini.
Pada prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, satu tuduhan pecah amanah yang dikenakan terhadap Abu Sahid di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 24 September lalu, dipindahkan dan digabungkan dengan empat kes sama dipertuduhkan di Kuala Lumpur pada 8 September lalu.
Hakim Suzana Hussin membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan satu tuduhan pecahan amanah berkenaan yang berkaitan projek pembinaan Lebuhraya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Projek MEX Il.
Beliau membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib bahawa pihak pendakwaan telah memperoleh keizinan untuk memindahkan kes berkenaan.
Satu tuduhan terbabit turut dibacakan di hadapan Abu Sahid (hari ini), dan beliau kemudian mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Ahmad Akram Gharib turut memberitahu mahkamah, pendakwaan akan menyerahkan sebahagian dokumen bagi tujuan perbicaraan, kepada pembelaan hari ini mengikut Seskyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Pada 8 September lalu, Abu Sahid menghadapi empat pertuduhan pecah amanah dan hari ini, pihak pendakwaan memohon satu kes pecah amanah yang dihadapi tertuduh di Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk digabungkan,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan pada 8 Januari bagi sebutan kes dan mengekalkan syarat telah ditetapkan sebelum ini.
Bagi kesemua empat pertuduhan pecah amanah di Kuala Lumpur, Abu Sahid sebagai ejen iaitu Pengarah Maju Holdings dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan wang milik syarikat di dalam akaun CIMB Bank Berhad, didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan secara tidak jujur menyalahgunakan wang berkenaan.
Ia membabitkan wang masing-masing berjumlah RM91.5 juta, RM171.5 juta, RM49.6 juta dan RM500,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Bukit Tunku, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini, antara 4 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.
Dengan itu, Abu Sahid didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (Akta 574).
Jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan itu, Abu Sahid boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun serta dengan sebatan, dan hendaklah juga dikenakan denda.
Di Shah Alam, beliau didakwa menyalahgunakan wang bernilai RM145,550,000 yang dibayar ke akaun escrow Maybank Islamic Berhad milik Golden Base Construction Sdn Bhd di sebuah bank di Taman Serdang Perdana, Seksyen 2, Selangor antara 12 Januari dan 13 Jun 2018.
Bagi kes pengubahan wang haram membabitkan pertuduhan pertama hingga 10 pula, Abu Sahid didakwa memindahkan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun banknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan, antara 4 Mei 2016 hingga 29 Oktober 2019.
Bagi baki tiga pertuduhan (lain), tertuduh didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek dari akaun bank miliknya, antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.
Sehubungan itu, Abu Sahid didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


