IPOH: Dakwaan kononnya polis menghalang satu upacara keagamaan di Buntong, dekat sini, yang tular di aplikasi WhatsApp semalam, adalah palsu dan berunsur fitnah.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan menegaskan bahawa kandungan penulisan itu berniat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Ipoh dalam kalangan masyarakat umum.

Katanya, PDRM Daerah Ipoh menghormati hak menjalankan aktiviti keagamaan setiap individu di negara ini, seperti diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan tidak pernah menghalang mana-mana individu untuk mengadakan upacara sembahyang keagamaan.

Jelasnya, polis hanya memberi nasihat dan meminta kerjasama pihak kuil supaya menangguhkan perarakan ‘chariot’ dan kavadi pada 21 sehingga 23 April kerana bertembung dengan tarikh Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan jangkaan kehadiran seramai 25,000 orang penganut, sudah pastinya perarakan yang dirancang tersebut akan meningkatkan aliran trafik dan menyebabkan kesesakan luar biasa serta risiko keselamatan ketenteraman awan di kawasan-kawasan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, pihak polis tiada halangan terhadap sebarang aktiviti keagamaan yang diadakan di dalam kawasan kuil tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Yahaya berkata, pihaknya telah menjelaskan perkara tersebut kepada wakil-wakil pihak penganjur aktiviti berkenaan dan mereka memahami serta bersetuju dengan nasihat pihak polis.

Menurutnya, pihak penganjur juga telah menafikan keterlibatan mereka dalam menyebarkan maklumat palsu tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan tuduhan tidak berasas dan membuat sebarang spekulasi sehingga menjejaskan kredibiliti polis dan menimbulkan kegusaran masyarakat.

Katanya, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan perkara itu di bawah Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.