KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan seorang wanita yang mendakwa kekhilafan kementerian itu sehingga menyebabkan dia dan anaknya dijangkiti COVID-19 daripadanya suaminya. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes seumpama itu merupakan antara penyebab KKM tidak menggalakkan pelawat datang ke hospital walaupun bukan hospital COVID-19.

"KKM sedang menyiasat kes tersebut dan inilah sebabnya kenapa kita di KKM tidak menggalakkan pelawat datang ke hospital kerana di hospital ada risiko yang tinggi iaitu jangkitan boleh berlaku.

"Kita sekarang ini lihat banyak hospital kita, hospital bukan COVID-19 pun sudah mengambil pesakit COVID. Jadi kita nasihatkan orang ramai menjauhkan hospital dan tidak menggalakkan pelawat datang ke hospital," katanya dalam sidang media mengenai COVID-19 pada Selasa.

BACA: COVID-19: 3,631 kes baharu, 14 lagi kematian dilaporkan

Tambahnya, jangkitan COVID-19 boleh berlaku dalam kalangan pekerja mahupun pesakit jika terdapat aktiviti keluar masuk pelawat ke hospital.

"Kes berkenaan boleh berlaku di kalangan pekerja atau petugas kesihatan atau pesakit dengan petugas, dan petugas dengan pesakit ini berlaku. Ini telah pun berlaku dan siasatan sedang dijalankan," ujarnya.

Justeru katanya, KKM akan menambah baik pengurusan kemungkinan jangkitan di hospital. 

"Kita akan lihat bagaimana nak tambah baik lagi mengenai jangkitan petugas dan pesakit-pesakit," tambahnya.

Ahad lalu, menerusi perkongsian di laman sosial Facebook, seorang wanita mendakwa kekhilafan KKM menyebabkan dia dan anaknya dijangkiti COVID-19 daripada suaminya.

Wanita itu juga mendakwa kecuaian KKM memaklumkan keputusan negatif RTK-Antigen kepada suaminya, menyebabkan dia dan anaknya pula terdedah kepada wabak itu.