MALAYSIA
Dakwaan wujud penguasaan pasaran termasuk kartel beras tidak berasas - Timbalan menteri

Arthur berkata, kementeriannya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Dakwaan mengenai penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri padi dan beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel adalah tidak berasas, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Ringkasan AI
- Kajian Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati tiada amalan antipersaingan atau pelanggaran Akta Persaingan 2010 dalam industri padi dan beras, sekali gus menolak dakwaan wujudnya struktur seperti kartel oleh syarikat besar.
- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang melaksanakan reformasi berfasa sejak Oktober 2024 bagi meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah dan menjamin bekalan beras negara.
- Sebanyak 52 syarikat pengeluar beras perlu mematuhi piawaian pensijilan benih, proses pengilangan dan ujian makmal bertauliah, termasuk makmal Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang diiktiraf ISO.
Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris sama ada dapatan kajian MyCC yang menyimpulkan tiada pelanggaran undang-undang persaingan turut mengambil kira kemungkinan wujudnya penguasaan pasaran oleh segelintir syarikat besar dalam industri beras yang berpotensi membentuk struktur seperti kartel.
Arthur berkata dalam langkah ke hadapan, kementeriannya sedang melaksanakan reformasi menyeluruh industri padi dan beras secara berfasa sejak Oktober 2024, bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin bekalan beras negara.
"Antara agenda utama di bawah reformasi industri padi dan beras adalah menilai semula kerangka perundangan sedia ada supaya kekal relevan dan berkesan dalam mengawal selia industri ini.
"Penilaian ini penting sebagai respons terhadap pelbagai isu yang membelenggu industri sejak kebelakangan ini, termasuk ketidakseimbangan ekosistem, dakwaan manipulasi bekalan melalui aktiviti percampuran beras dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata dapatan serta syor MyCC turut diambil kira demi mewujudkan persekitaran adil sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras, dan diharapkan segala usaha itu mendapat sokongan semua pihak untuk kebaikan serta masa depan industri negara.
Menjawab soalan tambahan Abdul Nasir mengenai mekanisme pasaran beras yang lebih kompetitif, Arthur berkata sebanyak 52 syarikat yang mengeluarkan pelbagai jenis dan jenama beras masing-masing mesti mematuhi proses kawalan serta piawaian standard digariskan, antaranya benih padi wajib mematuhi skim pensijilan.
"Proses pengilangan, pengedaran dan pengeluaran beras juga tertakluk kepada piawaian kebangsaan di bawah Standard Malaysia dan SIRIM Berhad, manakala penilaian kualiti beras dijalankan melalui ujian makmal bertauliah termasuk makmal padi beras di bawah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) yang diiktiraf ISO," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami