PUTRAJAYA: Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) boleh digunakan selepas tempoh 10 tahun dari tarikh penubuhannya pada 1988 bagi pembiayaan pembangunan termasuk pembelian vaksin.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 31 Disember 2020, KWAN memiliki dana sebanyak RM19.5 bilion.

Ia masing-masing merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan pulangan pelaburan terkumpulab sebanyak RM9.1 bilion.

Katanya, kerajaan hanya menggunakan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah dana terkumpul.

“Selepas 2008 KWAN boleh digunakan bagi membiayai projek pembangunan dalam jadual pertama Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 dan pinjaman mudah kepada kerajaan Persekutuan.

“Jadi pada tahun 1988 selaras dengan peranggan  (a) seksyen 6 sebenarnya ia pernah digunakan sebelum ini iaitu sebanyak RM42 juta untuk projek Paya Indah Wetland, tidak tahu itu kecemasan atau tidak.

“Pindaan undang-undang ke atas KWAN pindaan 1988 melalui Ordinan Darurat memboleh dana KWAN digunakan untuk memperoleh vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit sahaja,” katanya dalam sesi sidang media khas di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok sumbangan sebanyak RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan.

Selain itu, Tengku Zafrul menegaskan, kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad.

Sehubungan itu katanya, jika kerajaan tidak menggunakan dana KWAN, kadar defisit negara mungkin meningkat kepada 6.2 peratus.

“Semasa pembentangan Belanjawan 2021 saya telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

“Walau bagaimanapun kos ini tidak diperuntukan dalam bajet. Oleh yang demikian peruntukan RM3 bilion dan tambahan RM2 bilion dalam PEMERKASA akan menggunakan dana KWAN sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan.

"Jika dana daripada KWAN tidak digunakan, keperluan pinjaman kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat kepada 6.2 peratus,” katanya.

Tegas Tengku Zafrul, kerajaan komited untuk menambah semula dana KWAN apabila krisis kesihatan dan ekonomi negara pulih semula.

Pada 21 April lepas, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.