Sebanyak RM34 juta daripada peruntukan RM50 juta untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) telah digunakan bagi mempergiatkan lagi promosi kempen itu, kata Menteri Pelancongan, Seni, dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Baki RM16 juta lagi, kata beliau, digunakan untuk pelaksanaan acara di peringkat negeri serta memperkasakan sektor kebudayaan.

Menurut Ahli Parlimen Silam itu, sehingga kini Tourism Malaysia masih giat mempromosikan kempen VM2020 sama ada di media massa mahupun platform media sosial.

“Mengambil kira kos pengiklanan yang semakin meningkat setiap tahun dan jumlah peruntukan terhad, Tourism Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk memastikan setiap peruntukan yang diberikan dapat mencapai keputusan optimum kepada industri pelancongan negara,” katanya sewaktu persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) yang ingin mengetahui jumlah perbelanjaan untuk VM2020.

Selain itu, beliau juga ingin mengetahui mengapa promosi VM2020 kurang memberangsangkan di media massa dan media sosial.

Dalam jawapannya, Mohamaddin berkata, beberapa langkah strategik telah diambil antaranya, menjalin kerjasama dengan MasWINGS, Malaysia Airlines, Malindo, Malaysia Airports;, mengiklankan VM2020 di United Kingdom serta membuat kempen digital bersama Expedia.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut menganjurkan program lawatan suai kenal untuk agensi pelancongan media dan penulis blog antarabangsa ke Malaysia.

Turut dalam perancangan, jelas beliau ialah pembikinan laman web VM2020 dengan sasarannya ialah generasi millennials.

“Laman web yang berkonsepkan user-generated itu dapat digunakan bagi menyampai maklumat Kempen VM3030 seperti signature events dan calendar of events VM2020, serta video VM2020,” jelasnya lagi.