KUALA LUMPUR : Kerajaan diminta tidak mempunyai muslihat tertentu dalam kes penahanan seorang Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan atas dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik COVID-19.

Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin berkata, siasatan atau tindakan tidak boleh dibuat secara terpilih, sebaliknya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak tuntas dan berani menyelesaikan kes ini secara menyeluruh dan terbuka.

Beliau yang dikenali sebagai Che'gu Bard berkata, jika ada kesalahan maka lakukan pendakwaan, namun, ia diharap bukan bertujuan mengalihkan isu sepertimana usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipercayai sedang 'membebaskan' kluster mahkamah.

"(Kita berharap) siapa bersalah, didakwa. Kes yang berada di mahkamah perlu diselesaikan, bukan cakap mahkamah terbuka tapi lepas itu tiba-tiba pendakwa raya tarik balik kes.

"Ini adalah usaha mengalih isu demi isu dengan menggunakan medan kerajaan untuk berkempen menyalahkan parti itu parti ini dalam keadaan cuba mengalih perhatian rakyat terhadap kegagalan Kerajaan Perpaduan menyelesaikan masalah kos sara hidup, ekonomi, malah mereka juga berkecamuk berperang sama sendiri seperti kemelut politik berlaku di Sabah," katanya dalam satu pesanan suara pada Isnin.

Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu berkata SPRM perlu menyiasat secara menyeluruh berhubung kes membabitkan penahanan seorang ketua bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan.

Ini berlaku selepas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang lelaki berusia 42 tahun berhubung dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik COVID-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

SPRM pada Jumaat menahan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta kerana didakwa menjadi orang tengah dalam pengagihan projek kerajaan di bawah pakej rangsangan ekonomi antara 2020 dan 2022.

Dalam pada itu, Che'gu Bard yakin dan percaya, partinya tidak akan melindungi dan berkompromi jika terdapat sebarang bentuk salah guna kuasa penyelewengan yang berlaku.

Katanya, ia termasuk Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekalipun, dan semua pihak bersedia untuk siasatan secara telus dan terbuka.

BACA: Isu RM600 bilion: SPRM fokus siasatan terhadap dana kerajaan RM92.5 bilion