KUALA LUMPUR:Semua pemimpin diminta agar mengetepikan perbezaan politik dalam menangani krisis yang amat mencabar ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ketika ini, fokus utama adalah dengan menumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan.

"Saya berharap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya.

"Rakyat perlukan pertolongan. Dengan hanya bersatu kita boleh tangani krisis yang amat mencabar ini.

 
Sumber Facebook mustapamohamedjeli

"Hentikan politicking. Letakan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya di sini pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Perisytiharan Darurat: Bukan rampasan kuasa tentera, tiada perintah berkurung

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli kini sedang rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ2) selepas disahkan positif COVID-19 pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau menambah, sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, beliau amat memahami ketegasan Perdana Menteri dalam perutusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya juga yakin warga Kementerian Kesihatan (KKM) dan petugas barisan hadapan di seluruh negara sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

"Bagi mereka yang sedang dirawat di pusat kuarantin atau di hospital amat memahami betapa tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara," katanya.

COVID-19: Data dan informasi setakat ini (Dikemas kini setiap hari)

Sementara itu, Mustapa berkata, pengumuman proklamasi darurat oleh Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri amat penting bagi memerangi penularan COVID-19 serta menstabilkan ekonomi.

"Tanggungjawab kita sebagai rakyat juga amat besar. Jangan leka daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka.

"Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita. Ya Allah, kami berlindung pada-Mu daripada segala penyakit dan mala petaka. Permudahkanlah urusan kami semua," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.

"Alhamdulillah, kesihatan saya baik, suhu normal, tiada batuk, cuma suara parau sikit.

"Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, yang berdoa dan solat hajat.

"Di HRPZ2, doktor, jururawat dan seluruh warga hospital, memberikan perkhidmatan terbaik," tambahnya.

BACA: Mustapa Mohamed positif COVID-19

BACA: 
Hamzah Zainudin positif COVID-19