KUALA LUMPUR: Jika sebelum ini slogan 'Malu Apa Bossku' mempopularkan nama beliau selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jenama itu mengusung populariti Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak khususnya selepas kejatuhan seketika Barisan Nasional (BN) semasa beliau mengemudi parti itu.

‘Malu Apa Bossku’ setidak-tidaknya membina karakter Perdana Menteri keenam negara itu sehinggakan ke mana sahaja beliau pergi, pemuja-pemujanya akan saling menyahut panggilan itu.

Dan Ahli Parlimen Pekan itu sangat selesa, bahkan, beliau seperti ralit dalam kemesraan bersama pengikut-pengikutnya tanpa langsung mengendahkan persepsi atau pandangan musuh-musuh politiknya yang menggambarkan slogan ‘Malu Apa Bossku’ sebagai terjemahan negatif.

Namun, untuk sekurang-kurangnya hari ini atau mungkin akan berlanjutan untuk satu fasa tempoh tertentu, populariti ‘Malu Apa Bossku’ sepertinya akan ‘tenggelam’ dek satu lagi fenomena baharu yang tercetus hari ini.

Di Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini, Malaysia dikejutkan dengan slogan baharu yang berkait rapat dengan Najib.

‘Malu Apa Bossku’ kini diambil alih oleh frasa ‘national embarrassment’ (memalukan negara).

Nama Najib dan frasa ‘national embarrassment’ menjadi subjek perbincangan netizen di media sosial.

Ada juga golongan warga maya yang menterjemahkan frasa itu kepada ‘kemaluan negara’ yang juga menjadi bahan perdebatan.

[LAPOR LANGSUNG] Kes SRC International: Mahkamah Rayuan kekal sabitan, hukuman Najib

Frasa ‘national embarrassment’ dipetik daripada ungkapan yang digunakan Pengerusi Panel Tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil terhadap Najib bagi mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

"There is no national interest here, just a national embarrassment (tiada kepentingan nasional, hanya memalukan negara)," kata Abdul Karim.

Mahkamah Rayuan menegaskan tidak dapat menerima penjelasan daripada Najib bahawa semua tindakannya yang berkaitan dengan SRC International adalah demi ‘kepentingan negara’.

Buat seketika, bekas Perdana Menteri itu akan kekal bebas sementara menunggu keputusan rayuan kes rasuah SRC International Sdn Bhd oleh Mahkamah Persekutuan.

Ia susulan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang dipengerusikan Abdul Karim, membenarkan permohonannya untuk penangguhan sabitan dan hukuman.

Sementara Najib melalui proses rayuan di Mahkamah Persekutuan, ‘Malu Apa Bossku’ dan ‘national embarrassment’ pula menjadi dua frasa yang akan kekal dalam ingatan rakyat Malaysia sampai bila- bila.