KUALA LUMPUR: Apabila Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) memulakan pembinaannya, tidak pernah kami menduga bahawa hospital ini bakal berubah fungsi dan fokus kepakarannya.

Siapa sangka, HPKK yang pada awalnya dibina sebagai sebuah hospital pintar pakar kanak-kanak pertama di negara ini, akan bertukar menjadi sebuah hospital COVID-19.

Justeru, pada 4 Jun 2021, HPKK telah melakar sejarah transformasinya yang tersendiri selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani ordinan darurat yang membenarkan HPKK beroperasi sepenuhnya.

Jangkaan untuk menerima pesakit kanak-kanak pertama pada akhir bulan Mac 2021 yang lalu bertukar menjadi sebuah pusat perubatan yang bakal menyantuni ratusan pesakit COVID-19 di Malaysia.

Persoalannya, bagaimanakah universiti awam dan swasta di Malaysia menerima cabaran dengan mengadaptasi fungsi prasarana sedia ada seiring keperluan semasa?

Dalam keadaan seluruh dunia sedang bergelut dengan isu pandemik, institusi awam dan swasta sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan masing-masing.

Di UKM contohnya, usaha membantu kerajaan memerangi COVID-19 sudah bermula seawal tahun 2020 lagi.

UKM telah menggariskan beberapa prakarsa yang boleh dilaksanakan dalam membantu mengurangkan beban rakyat dan negara, yang sememangnya terkesan dengan kehadiran pandemik ini.

Antaranya adalah dengan menyediakan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM sebagai sebuah institusi perubatan yang mengendalikan kes pesakit dan ujian saringan COVID-19 di Makmal Diognastik hospital ini. 

Institut Perubatan Molekul UKM atau UMBI pula telah menubuhkan Makmal Diagnostik COVID-19 yang mula beroperasi pada 4 April 2020 melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Setakat ini, UKM telah berjaya melakukan transformasi prasarana sedia ada mengikut trend dan keperluan semasa.

HPKK yang pada awalnya dibina sebagai sebuah hospital pintar pakar kanak-kanak pertama di negara ini, akan bertukar menjadi sebuah hospital COVID-19. - Foto UKM


Perkhidmatan Pemberian Vaksin IPT Mobile yang Pertama di Malaysia

Terkini, Dewan Gemilang UKM telah dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 5 Mei 2021. 

Dengan bantuan 300 orang sukarelawan yang bergilir-gilir menjalankan tugas, UKM telah meningkatkan jumlah pemberian vaksin daripada 1,000 dos kepada 1,300 dos vaksin setiap sehari.

Pada masa yang sama, pasukan HCTM UKM juga sedang melakukan persediaan untuk memberi vaksin secara pandu lalu, yang dijangka bermula pada bulan Jun ini.

HCTM bakal menjadi PPV kedua di Malaysia yang menyediakan khidmat pemberian vaksin secara pandu lalu, selepas Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Perkhidmatan pemberian vaksin secara bergerak atau mobile yang akan dilaksanakan oleh pasukan HCTM pula, merupakan inisiatif yang pertama di Malaysia.

Pasukan perubatan ini sedang melakukan persediaan untuk bergerak ke kawasan bandar dan luar bandar bagi menawarkan khidmat pemberian vaksin COVID-19 kepada orang ramai.

Dengan memaksimumkan peranan dan fungsi prasarana yang sedia ada, UKM sentiasa berusaha untuk memantapkan perkhidmatan melalui kerjasama semua tenaga kerja kesihatan universiti, yang terdiri daripada pegawai perubatan, pensyarah perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat dan juga para sukarelawan.

Justeru, transformasi HPKK kepada hospital COVID-19 merupakan salah satu langkah pemerkasaan ke arah menjadikan UKM sebagai sebuah istitusi pendidikan dan penyelidikan efisyen yang tidak pernah tercicir daripada landasan semasa.


Sejarah dan Latarbelakang HPKK UKM

HPKK mula dibina pada bulan Mei 2014, dengan keluasan 2,171,531 kaki persegi.

Seiring hasrat kerajaan untuk menjadikan hospital ini sebagai pusat perubatan dan perawatan yang berpusatkan keluarga dan mesra kanak-kanak, hospital ini dilengkapi dengan sistem pengurusan tercanggih dengan intensif penyelidikan.

Antara kelengkapan yang dicadangkan adalah rawatan implan koklea, surgeri skoliosis, surgeri laparoskopi pediatrik dan surgeri Neuro-Oncology intraoperative hybrid MRI.

HPKK UKM juga mempunyai pusat konvensyen dan blok parkir bertingkat bagi memenuhi keperluan pesakit dan keluarga.

Di samping itu, hospital ini mempunyai kapasiti 243 buah katil dimana bilik pesakit kelas pertma dilengkapi dengan bilik air, meja dan ‘sofa bed’.

Selain itu, 28 buah katil rawatan kritikal/ICU (bersaiz dewasa) juga disediakan untuk kegunaan pesakit.


Fasiliti Bersifat Fleksibel Demi Memenuhi Keperluan Rakyat dan Negara

Walaubagaimanapun, hasrat awal HPKK ini terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Melihat kepada trend dan keperluan pada hari ini, UKM menyambut baik cadangan kerajaan dan bersedia menjadikan HPKK sebagai hospital COVID-19.

Ini juga bertujuan untuk mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh hospital lain di seluruh negara yang sedang mengalami peningkatan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) secara mendadak.

Menurut Seksyen 3 and 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh menggunakan sementara bangunan hospital dan lain-lain sumber termasuk sumber manusia bagi tujuan menangani wabak COVID-19 ini.

Perubahan ini merupakan satu langkah wajar, memandangkan keperluan masyarakat dan negara pada hari ini adalah lebih menjurus ke arah rawatan dan pemulihan pesakit COVID-19.

Kami melihat transformasi ini sebagai satu penghormatan kerana telah diberi kepercayaan oleh kerajaan, dan ia bukanlah sebagai satu bebanan.

Namun, pengolahan fasiliti merupakan cabaran yang agak besar yang harus ditangani.

Walaupun UKM tidak mempunyai kekangan dari segi tenaga kerja dan kepakaran, proses pengadaptasian sebuah hospital yang pada asalnya diwujudkan khusus untuk kanak-kanak kepada sebuah hospital yang akan memfokuskan kepada rawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 semestinya menuntut keperluan teknologi dan fasiliti perubatan yang agak berbeza.

Justeru, antara persediaan awal yang sedang dilakukan ialah mengadakan siri perbincangan lanjut bersama Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kami menjangkakan untuk membuka dua buah wad bagi pesakit COVID-19 yang bergejala teruk dalam kategori 4 dan 5.

Selain itu, bilangan katil untuk pesakit juga akan ditambah dalam masa terdekat bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat.

Cadangan menjadikan HPKK sebagai hospital COVID-19 juga dilihat seiring dengan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi melalui PEMERKASA Tambahan (Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan) yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjaga sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Untuk ini, kerajaan telah menyediakan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion yang disasarkan kepada 20 juta isi rumah dan 2 juta perniagaan.

Antara matlamat utama pakej ini adalah untuk mempertingkatkan kapasiti kesihatan awam dengan memperuntukkan sebanyak RM450 juta bagi semua perbelanjaan berkaitan COVID-19 seperti katil dan ubat-ubatan yang akan diagihkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Hospital Pengajar Universiti Awam dan hospital medan.

Selain itu, bagi menampung kos operasi dan pengurusan yang semakin bertambah, dana sebanyak RM550 juta telah ditambah agar pengurusan dan operasi berjalan dengan lancar.

Kerajaan juga prihatin dengan kekurangan tenaga kerja di sektor perkhidmatan kesihatan dan bakal melantik 14,500 pekerja kontrak yang antaranya terdiri daripada pesara petugas kesihatan yang berpengalaman luas.

IPT menyambut baik segala prakarsa yang telah digariskan di bawah pakej rangsangan ekonomi ini.

Langkah kerajaan membuktikan keprihatinan jitu terhadap rakyat disamping memastikan kelangsungan sektor perniagaan demi kesejahteraan semua pihak.

Di peringkat universiti, Pemerkasa PLUS membantu dalam meningkatkan kemandirian institusi awam dan swasta dalam usaha menambahbaik serta menyediakan prasarana yang lebih efektif, seiring dengan kehendak semasa.


Kekal Relevan, Bersedia melalui Perubahan

Semua IPT pastinya sudah bersedia untuk menyahut segala cabaran serta perubahan demi kelangsungan masyarakat dan negara.

Kami mahu kekal relevan serta berimpak dalam merealisasikan segala aspirasi dan dasar kerajaaan. 

Sebagai sebuah universiti watan yang dibina atas hasrat rakyat Malaysia, UKM mahu sentiasa menjadi sebuah institusi berorientasikan masyarakat, baik dari segi penyelidikan mahupun dalam aspek perkhidmatan yang lain.

Semoga sumbangan yang bakal diberikan dapat membantu negara dalam menangani isu pandemik yang sedang berleluasa ini.



* Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman merupakan Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.