KUALA LUMPUR: Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan, kata Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Jelasnya, kerajaan meletakkan sasaran industri francais tempatan meningkat kepada RM100 bilion menjelang tahun 2030.

Bagaimanapun ketika ini jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dalam proses mengadakan townhall terakhir pada November ini sebelum draf dasar berkenaan dibentangkan kepada Kabinet Disember depan.

"Atas sebab itu kita dah bekerjasama lama dengan MFA bagi mengubal Dasar Francais Negara ini, draf telah kita rundingkan dalam pelbagai sesi.

"Hari ini kita ingin jemput semua pihak yang merupakan pemegang taruh atau sesiapa yang ada kepentingan dalam pembangunan industri francais untuk sama-sama ke townhall pada November anjuran KPDN dan MFA," katanya.

Jelas Armizan lagi, dasar itu akan sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani dalam membantu mengembangkan industri francais tempatan.

"Kita melihat keperluan penjajaran Dasar Francais Negara dengan kerangka Ekonomi Madani khususnya dalam membantu menaikkan siling ekonomi negara dan membantu kerajaan meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta bagaimana francais boleh membantu menaikkan ekonomi rakyat," katanya.

Selain dasar, KPDN jelas Armizan turut memutuskan untuk memperkukuhkan mekanisme pembangunan francais melalui Lembaga Penasihat Francais yang diwujudkan sebelum ini.

Usaha itu katanya akan melibatkan semua agensi dibawah KPDN terutamanya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Parlimen pada Khamis.

Untuk rekod nilai jualan industri francais tempatan meningkat daripada RM14.6 bilion pada 2020 kepada RM30 bilion pada 2021.

Setakat September tahun ini, sebanyak 1,237 francais tempatan telah berdaftar. Daripada jumlah itu, 70 jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 80 buah negara.