LANGKAWI: Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sepatutnya dilancarkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) masih dalam proses penilaian, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara itu dan mahu mendapatkan pandangan lebih lanjut daripada pihak berkepentingan.

"Kita bila buat dasar tak mahu tergesa-gesa. Kita nak supaya semua pihak berkepentingan terlibat dan mendapat pandangan semua pihak agar dasar ini nanti dijiwai oleh kerajaan dan pihak industri.

"Jadi kita buat libat urus dengan mereka dengan lebih teliti walaupun sebelum ini kita adakan libat urus dengan pihak berkepentingan iaitu pemain tetapi kita nak pastikan apa kita lakukan akan menjadi dokumen atau dasar yang dapat diterima pakai oleh semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen kontrak, Memorandum Persefahaman (MoU), Surat Setuju Terima (SST) dan Surat Niat (LoI) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata DIPKN adalah satu dasar penting kepada industri pertahanan yang mempunyai potensi baik untuk dikembangkan selain satu rang undang-undang berkaitan industri pertahanan akan dibentangkan di Parlimen.

-- BERNAMA