Dasar Industri Pertahanan Negara dilancar awal tahun depan - Mohamed Khaled

Sultan Ibrahim berkenan melawat Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) di Riyadh, pada Rabu, bagi meninjau perkembangan terkini teknologi pembuatan ketenteraan negara itu. - Gambar Bernama
RIYADH: Dasar Industri Pertahanan Negara dijangka dilancarkan pada awal tahun depan bagi memperkukuh sektor berkenaan melalui inovasi serta kemajuan teknologi.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui Bernama memaklumkan, dasar itu telah diluluskan di peringkat Kabinet.
"Kita juga akan mempelajari dan meneliti pendekatan yang dilaksanakan oleh negara lain termasuk Arab Saudi," katanya di sini, pada Rabu.
Dasar Industri Pertahanan Negara dirangka bagi memperkasa keupayaan pertahanan dengan mengurangkan kebergantungan terhadap pembekalan aset dari luar negara.
Usaha itu termasuk memperkukuh ekosistem industri pertahanan tempatan, memperkasakan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai badan penyelidikan di bawah Kementerian Pertahanan, serta memastikan pelaksanaan pemindahan teknologi dalam setiap perolehan.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyatakan hasrat Malaysia untuk mempelajari model pembangunan industri pertahanan Arab Saudi, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor berkenaan.
Beliau berkata lawatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) pada Rabu membuka peluang kepada Malaysia untuk meneliti pendekatan serta model yang digunakan dalam membangunkan keupayaan pertahanan negara.
SAMI ditubuhkan pada 2017 bagi memperkukuh strategi industri pertahanan Arab Saudi melalui penyetempatan pembuatan ketenteraan dan pembangunan sistem pertahanan termaju, selaras dengan matlamat Wawasan Saudi 2030.
Operasi SAMI merangkumi lima sektor utama, iaitu penerbangan dan angkasa lepas, sistem pertahanan, elektronik canggih, sistem darat dan sistem marin.
Sejak penubuhannya, SAMI telah mencapai beberapa pencapaian penting yang menyumbang kepada peningkatan kemampuan pertahanan Arab Saudi menerusi teknologi termaju dan pembangunan bakat tempatan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


