KUALA LUMPUR: Kejayaan China dalam program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah antara bidang baharu yang boleh dimanfaatkan dan dicontohi oleh Malaysia, selaras dengan keputusan kerajaan untuk memasukkan negara Tembok Besar itu dalam Dasar Pandang Ke Timur.

Bekas Duta Besar Malaysia ke China (1998-2004) Datuk Abdul Majit Ahmad Khan berkata kedua-dua negara boleh meningkatkan program latihan TVET kerana ia penting dalam memenuhi keperluan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan Revolusi Perindustrian 4.0.

"Secara asasnya, keperluan segera kita ialah mengenai persoalan latihan teknikal untuk disesuaikan dengan keperluan industri semasa kerana kita menuju ke arah digitalisasi, AI dan semua aplikasi dalam kehidupan kita sekarang mempunyai dua elemen ini iaitu AI dan digitalisasi.

"Untuk bergerak ke hadapan, saya ingin mencadangkan supaya Malaysia dan China melihat kaedah untuk meningkatkan latihan TVET antara dua negara, melibatkan universiti teknikal, industri, akademia dan juga agensi kerajaan berkaitan bagi kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memberitahu Asahi Shimbun dalam temu bual di Tokyo pada 17 Dis lepas, bahawa Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

Mengambil contoh Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), projek infrastruktur mega diterajui China, Abdul Majit berkata Malaysia, yang kini mempunyai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di bawah BRI, harus segera mengambil peluang ini terutama dalam konteks kerjasama pembangunan TVET.

China, yang memulakan reformasi dan keterbukaan empat dekad lepas katanya, telah menganjurkan bengkel di banyak negara termasuk Thailand yang menyediakan kemudahan dan program latihan untuk membantu mengembangkan bakat tempatan dengan kemahiran dan keupayaan diperlukan di bawah BRI.

"China telah bergerak ke fasa dan bahagian baharu BRI yang satu daripadanya ialah TVET. Mereka telah mengadakan bengkel di banyak negara, membawa pelatih dan membuat pertukaran dengan universiti di China, jadi Malaysia perlu meningkatkan bidang ini kerana kita tidak mempunyai program berstruktur dengan China mengenai perkara ini," katanya.

Menurut Global Times, China telah meningkatkan usaha untuk mempromosikan pembangunan sistem pendidikan vokasional. Negara itu menubuhkan sistem pendidikan vokasional terbesar di dunia, iaitu 11,300 sekolah pendidikan vokasional dengan lebih 30 juta pelajar setakat ini.

Sementara Malaysia mempunyai komitmen untuk mengurangkan kemiskinan tegar seperti diumumkan Anwar, Abdul Majit yang juga Profesor Adjung di Institut Pengajian China Universiti Malaya dan Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) berkata China juga negara terbaik bagi Malaysia mencontohi program pembasmian kemiskinan.

Beliau berkata Malaysia boleh memajukan pembangunan, pakar dan pegawai dengan mengambil petunjuk daripada pencapaian China dalam pelan pembangunan negara, dengan pembasmian kemiskinan menjadi satu daripada objektif utamanya.

"Daripada pengalaman saya, program pembasmian kemiskinan rakyat China sangat berpusat kerana ia berdasarkan data. Sebagai contoh, di sebuah kampung, jika terdapat perkara yang perlu dinaik taraf, jalan raya, perumahan, kemudahan, infrastruktur, mereka akan menumpukan kepada perkara berkenaan," katanya.

Pada Februari 2021, Presiden Xi Jinping mengumumkan bahawa kemiskinan tegar di China telah dihapuskan.

Menurut laporan media Xinhua, menerusi usaha berterusan, sebanyak 98.99 juta penduduk luar bandar miskin yang terakhir di China telah dikeluarkan daripada belenggu kemiskinan dan kesemua 832 daerah dan 128,000 kampung miskin telah dikeluarkan daripada senarai kemiskinan menjelang akhir 2020.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Sosial Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Khairunesa Isa berkata peluasan Dasar Pandang Ke Timur dengan memasukkan China merupakan langkah yang lebih berstrategi dalam merancang arah pembangunan dan kemajuan negara dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata ia juga dilihat dapat membentuk blok Asia yang lebih kuat serta dapat mengurangkan kebergantungan keterlaluan dengan negara barat.

"Kerjasama ini akan membina satu rangkaian strategik yang boleh mewujudkan konsep menang-menang dan paling penting kita dapat belajar strategi, kaedah dan pendekatan yang China gunakan sehingga negara itu boleh menjadi kuasa kedua mendominasi ekonomi dunia selepas Amerika Syarikat," katanya.

-- BERNAMA