KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melancarkan Dasar Perpaduan Keluarga Malaysia pada hujung November ini, kata Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut  beliau, pelancaran dasar itu merupakan usaha kerajaan untuk menambah baik gagasan perpaduan di Malaysia.

Tambah beliau, dasar tersebut merupakan perkara baharu diperkenalkan selepas Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang sudah dilancarkan sebelum ini.

“Saya yakin untuk bantu kita tambah baik usaha ini, pendidikan adalah jalan terbaik untuk kita tanganinya.

“Sebab itu subjek seperti Kajian Malaysia di universiti perlu ditekankan dan diajar bukan seperti Yang Berhormat Muar (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) yang tidak bersetuju untuk tambah baik kreditnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada P Prabakaran (PH - Batu) berhubung perpaduan negara di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ketika ditanya berkaitan perlunya mewujudkan rang undang-undang baharu untuk menangani isu perkauman, Wan Ahmad Fayhsal berkata, undang-undang yang sedia ada pada waktu ini sudah memadai.

“Kementerian ini berpendapat tiada keperluan untuk menggubal satu undang-undang seperti Undang-Undang Keharmonian Kaum (Race Relations Act).

“Yang mana undang-undang sedia ada selari dengan konsep "Keluarga Malaysia" yang mementingkan integrasi nasional, kesatupaduan, keharmonian, persefahaman dan kestabilan,” ujarnya.

Tegas beliau, sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan dan keharmonian rakyat khususnya berkaitan isu perkauman boleh disiasat dan didakwa di bawah akta-akta berikut:

1) Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian

2) Seksyen 506 Kanun Keseksaan  [Akta 574] iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah

3) Seksyen 505 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam

4) Seksyen 504 Kanun Keseksaan [Akta 574] iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak  membangkitkan pecah keamanan

5) Subseksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] iaitu kesalahan menghasut.