"Dasar tidak menerima hadiah" perlu dilaksanakan pada sepanjang masa oleh semua syarikat dan agensi kerajaan, dan tidak terhad hanya semasa musim perayaan, kata Presiden Institut Integriti Malaysia, Dr. Anis Yusal Yusoff.

Dasar itu juga perlu dilaksanakan oleh semua kakitangan tanpa mengira pangkat, "tidak kira pengurusan atasan atau pegawai pelaksana dan kumpulan sokongan".

"Etika perniagaan dan nilai-nilai bersama syarikat perlulah dijadikan panduan pada setiap masa dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Anis yang menerajui IIM sejak 1 Jun lepas mengulas tindakan beberapa syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang melaksanakan "dasar tidak menerima hadiah" bagi mengelakkan wujudnya konflik kepentingan dengan pihak-pihak yang berurusan dengan syarikat itu.

"Ini adalah satu usaha murni untuk menerapkan budaya integriti," katanya.

Antara syarikat yang melaksanakan dasar itu termasuklah Petronas, Malaysia Airports Holdings Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan yang terbaru, Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Di bawah dasar itu, kakitangan syarikat terlibat tidak dibenarkan menerima atau memberi sebarang hadiah berbentuk peribadi kepada mana-mana pihak luar yang ada kepentingan perniagaan.

Ia adalah sebahagian daripada Program Integriti Korporat yang telah ditandatangani oleh 520 buah syarikat agensi kerajaan dan pertubuhan sejajar dengan usaha kerajaan ke arah meningkatkan integriti dan ketelusan tadbir urus.

Dasar sama juga terkandung dalam garis panduan perkhidmatan awam yang dilaksanakan sejak 1998.

Dalam pada itu, Anis menyeru semua syarikat dan agensi yang sudah melaksanakan dasar tersebut supaya memantau pelaksanaannya serta memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan ia menjadi satu amalan budaya korporat.