KUALA LUMPUR: Maklumat yang dikumpul menerusi Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan digunakan sebagai bahan atau alat untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-16.

Itu jaminan jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sambil menegaskan, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan memastikan data peribadi dalam sistem itu tidak disalah guna.

“Sebelum sebarang data atau maklumat didedahkan kepada PADU, daripada agensi sebelum ini, yang berada di bawah jagaan saya kini di bawah jagaan (Menteri Digital) Gobind Singh, terdapat beberapa terma dan syarat yang dikenakan dalam proses pendedahan itu.

“Jadi, ia tidak boleh disalah guna dan saya percaya walaupun ada pihak yang menyalahgunakannya sebelum ini, kita tidak berhasrat untuk melakukan perkara yang sama,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jualan Termurah Demi Rakyat, di sini, pada Sabtu.

Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata, parti Kerajaan Perpaduan juga mempunyai strategi berbeza untuk berkempen berbanding pesaing politik mereka.

Menurut Fahmi lagi, sistem PADU adalah untuk memastikan golongan yang memerlukan mendapat bantuan dan sokongan kerajaan yang sewajarnya.

“Jadi, faedah utama PADU adalah untuk mereka yang memerlukan sokongan dan akan diberi subsidi dan sebagainya. Sebab itu fungsi utamanya bukan untuk berkempen,” tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu lagi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak perlu risau kerana PADU baru sahaja dilancarkan dan masih ada masa untuk semua pihak berkaitan termasuk wakil rakyat sepertinya membantu mereka yang mempunyai isu mengesahkan maklumat mereka dalam pangkalan data tersebut.