Skip to main content

Teknologi

X perkenal ciri suntingan gambar dengan Grok dan alih bahasa automatik

Sumber: AMANZ
Fungsi suntingan berkenaan membolehkan pengguna mengaburkan bahagian tertentu pada gambar bagi melindungi maklumat sulit, selain menambah teks pada imej, menyerupai ciri yang ditawarkan oleh Instagram Stories. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Aplikasi X memperkenalkan dua ciri baharu yang memperluas keupayaan suntingan imej secara natif menggunakan kecerdasan buatan (AI) Grok, selain fungsi alih bahasa ciapan secara automatik pada garis masa pengguna, lapor Amanz.

Menerusi kemas kini terbaharu itu, pengguna kini boleh meminta Grok mengubah suai gambar yang ingin dimuat naik terus daripada mod suntingan dengan hanya memberikan arahan teks, tanpa perlu beralih ke skrin Grok seperti sebelum ini.

Advertisement

Fungsi suntingan berkenaan membolehkan pengguna mengaburkan bahagian tertentu pada gambar bagi melindungi maklumat sulit, selain menambah teks pada imej, menyerupai ciri yang ditawarkan oleh Instagram Stories.

Selain itu, X turut mengaktifkan ciri alih bahasa automatik pada garis masa secara lalai, yang juga dikuasakan oleh Grok, bagi memudahkan pengguna memahami kandungan dalam pelbagai bahasa.

Bagaimanapun, pengenalan ciri alih bahasa automatik itu dilaporkan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna selepas susur masa mereka bertukar kepada Bahasa Melayu secara tiba-tiba, walaupun fungsi berkenaan boleh dimatikan secara manual melalui tetapan aplikasi.

Setakat ini, kesemua ciri baharu tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna aplikasi X bagi sistem operasi iOS, manakala versi untuk Android dijangka diperkenalkan pada tarikh yang belum diumumkan.

Langkah itu dilihat sebagai usaha berterusan platform milik Elon Musk untuk mengintegrasikan teknologi AI dengan lebih mendalam bagi meningkatkan pengalaman pengguna dalam interaksi harian.

Must Watch Video