PUTRAJAYA: Data dan laporan analisis harian COVID-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah sahih dan tepat serta telah diverifikasi di semua peringkat kementerian, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

"Data-data COVID-19 di Malaysia dikendalikan mengikut prosedur-prosedur tertentu bagi memastikan data yang dilaporkan adalah tepat dan sahih," katanya menolak dakwaan kononnya data COVID-19 di negara ini hanya ciptaan dan direka.

Dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di sini hari ini, bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, Dr Adham memaklumkan kes COVID-19 yang direkodkan di Malaysia sehingga semalam adalah sebanyak 398,451 kes.

Menghuraikan prosedur terlibat, Dr Adham berkata semua keputusan ujian yang dijalankan sama ada di klinik kesihatan kerajaan, hospital mahupun fasiliti perkhidmatan kesihatan swasta wajib dimuat naik ke dalam Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Sistem itu dipantau oleh KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil, katanya.

Beliau berkata PKD bertanggungjawab untuk membuat siasatan, menguruskan kemasukan sama ada ke hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau dirawat di rumah berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan dan PKD juga menjalankan saringan ke atas kontak rapat dan mengeluarkan arahan kuarantin.

Data yang telah lengkap dari PKD, kata beliau, dihantar ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) negeri sebelum disalurkan ke CPRC Kebangsaan, dan data dari semua negeri diterima selewat-lewatnya 12 tengah hari oleh pasukan pengurusan data di CPRC Kebangsaan.

"Semakan terhadap semua data akan dilaksanakan oleh pegawai bertanggungjawab di KKM... apabila data disahkan ia akan didaftarkan sebagai data harian COVID-19 Malaysia," katanya serta menambah data itu juga digunakan untuk penyediaan kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Adham berkata data itu juga akan digunakan untuk menganalisis situasi COVID-19 di negara ini termasuk mengenai trend kes, kadar kebolehjangkitan, kapasiti hospital dan makmal serta keberkesanan tindakan pencegahan atau kawalan.

Beliau berkata semua anggota kesihatan yang terlibat dalam pengurusan data di peringkat daerah sehingga kebangsaan diwajibkan menjaga kerahsiaan data pesakit COVID-19 yang dikumpulkan.

-- BERNAMA