Perolehan projek tentera : Beberapa syarikat terpilih 'dominasi' projek bernilai tinggi - SPRM

Semakan awal SPRM mendapati hanya beberapa syarikat terpilih dikenal pasti kerap memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan keraguan.
KUALA LUMPUR : Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perolehan Tentera Darat Malaysia mendedahkan hanya beberapa syarikat terpilih dikenal pasti kerap memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan keraguan.
Ringkasan AI
- SPRM mendapati hanya beberapa syarikat terpilih mendapat projek bernilai tinggi Tentera Darat Malaysia, menimbulkan keraguan.
- Siasatan SPRM bermula sejak 23 Disember lalu, termasuk profiling syarikat penerima kontrak, selepas dapati 158 projek bernilai melebihi RM500,000 dan 4,521 projek di bawah RM500,000.
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjamin siasatan akan dilakukan secara bebas dan profesional, sementara tiga individu dipanggil SPRM untuk keterangan berhubung perolehan projek Tentera Darat.
Susulan penemuan awal tersebut, SPRM mempergiatkan siasatan yang bermula sejak 23 Disember lalu, termasuk melakukan semakan terhadap akaun yang disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah berkaitan perolehan.
Dalam perkembangan berkaitan, menurut sumber, SPRM pada Rabu memanggil tiga individu untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan lanjut berhubung perolehan projek Tentera Darat tersebut.
Maklumat mengenai individu yang dipanggil bagaimanapun tidak diperincikan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pada Rabu, SPRM merakam keterangan Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kira-kira pukul 12 tengah hari berhubung perincian maklumat yang diperolehnya.
Turut dimaklumkan, pada hari sama, pegawai SPRM juga hadir ke Kementerian Pertahanan dengan tumpuan siasatan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


