MALAYSIA
Data PADU digunakan sepenuhnya bagi mekanisme penyasaran subsidi petrol RON95 - Amir Hamzah
Amir Hamzah bercakap ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15, di Bangunan Parlimen hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Mekanisme penyasaran semula subsidi petrol RON95 yang sedang diperhalusi oleh Kementerian Kewangan (MOF) akan menggunakan sepenuh data daripada Sistem Pangkalan Data Utama (PADU), menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau yang menjalankan tanggungjawab dan fungsi Menteri Ekonomi berkata setakat ini sistem berkenaan telah menyediakan 30.4 juta profil individu.
Profil berkenaan, katanya adalah berkaitan dengan maklumat demografi, lokaliti, sosioekonomi serta pekerjaan, pendapatan, pendidikan, pemilikan kenderaan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima individu.
"Berhubung pelaksanaan subsidi bersasar, data PADU yang akan digunakan oleh MOF bertujuan menjadi rujukan kepada penerima subsidi RON95... inilah pengguna pertama PADU yang betul-betul terperinci yang akan digunakan (untuk subsidi bersasar).
"Pada masa ini, kerajaan memfokuskan kepada penggunaan data yang terkini bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan. Sebagai contoh, pengesahan dan verifikasi maklumat pemohon bagi mengenal pasti penerima yang benar-benar layak dan seterusnya mengurangkan ralat," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung perancangan Kementerian Ekonomi terhadap sistem PADU dan jumlah data yang dikumpul setakat Jun 2025 serta kesediaan kerajaan untuk melaksanakan audit berkala terhadap sistem itu melalui badan bebas bagi menjamin ketelusan dan tatakelola yang betul.
Amir Hamzah berkata menerusi data yang tersedia, kerajaan juga boleh mengenal pasti program intervensi bagi kumpulan sasar tertentu.
Selain itu katanya, pada masa ini, sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan integrasi data secara berterusan dengan PADU, dengan penggunaan data masih terhad kepada keperluan khusus agensi kerajaan.
"Bagi menggalakkan pembuatan keputusan berpacukan data, satu garis panduan perkongsian PADU diwujudkan dan diedarkan kepada semua agensi kerajaan pada 25 Feb, selain sesi penerangan kepada kementerian dan agensi, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dilaksanakan dari Februari hingga Jun tahun ini.
"Sehingga kini, sembilan permohonan (penggunaan data PADU) daripada pelbagai agensi telah diluluskan bagi tujuan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dasar dan inovasi pendigitalan perkhidmatan," katanya.
-- BERNAMA