Data, statistik tepat pacu sektor pelancongan

Mohd uzir berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan statistik pelancongan negara. - Gambar fail
MELAKA: Peningkatan keupayaan negara dalam pengumpulan dan analisis data pelancongan yang lebih tepat dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan sektor pelancongan negara dan rantau ASEAN.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, ia termasuk pendekatan statistik masa nyata yang membolehkan Malaysia menilai impak pelancongan dengan lebih pantas dan berkesan berbanding kaedah konvensional sebelum ini.
"Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya kini memainkan peranan penting dalam memperkukuh keupayaan statistik pelancongan negara.
"Sebagai contoh, melalui data kedudukan mudah alih pihak berkaitan dapat meneliti pola pergerakan pelancong, destinasi tumpuan, serta kecenderungan mereka terhadap aktiviti tertentu dan data ini membantu kita menilai keperluan fasiliti dan merancang intervensi yang lebih tepat," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Program Rekreasi dan Sosial Korporat sempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, di sini, pada Jumaat.
Mohd Uzir berkata, elemen itu penting memandangkan sektor pelancongan negara sedang menunjukkan pemulihan memberangsangkan apabila statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan peningkatan jumlah pelancong dometik dan antarabangsa, menyaksikan Melaka kekal antara destinasi popular.
Meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu, sektor pelancongan tetap mencatat nilai tertinggi mencecah hampir RM210 bilion dengan kedatangan pelancongan domestik dan asing menerusi promosi berterusan.
"Untuk itu DOSM akan membantu dengan menyediakan data-data statistik yang boleh digunakan untuk memacu pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan termasuk kaedah mempromosikan terbaik sekali gus memberi impak berterusan serta memperkukuh sektor ekonomi serta isi rumah.
"Apa yang penting sekarang adalah bagaimana kita boleh memastikan pelancong yang datang akan kembali semula, bukan sekadar kunjungan sekali sahaja," katanya.
Kejayaan berkenaan turut disokong oleh peranan perkhidmatan awam yang membantu memudahkan perjalanan dan pengalaman pelancong dari pintu masuk negara sehingga ke destinasi lawatan, nilai murni dan fasilitasi yang efisien dan semua ini dapat dipertingkatkan melalui data yang tepat.
Terdahulu, Melaka menjadi tuan rumah buat julung-julung kalinya bagi ASEAN-Malaysia Statistical Forum (AMSF) 2025 yang berlangsung sempena Sesi ke-15 Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS15) dan ASEAN-Malaysia Stats Week 2025.
AMSF yang berlangsung dari 5 hingga 6 Nov lepas menghimpunkan lebih 500 delegasi yang terdiri daripada organisasi statistik kebangsaan ASEAN, ahli akademik, pemain industri, wakil kerajaan dan pelajar.
Acara yang menekankan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 "Keterangkuman dan Kemampanan" itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
AMSF 2025 anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu memberikan tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau, pemerkasaan integrasi data dan kemajuan inovasi dalam sistem statistik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


