Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan kompaun ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Dr Khairuddin dilaporkan pulang dari Turki pada 7 Julai dan dikompaun RM1,000 pada 7 Ogos lalu.

"Oleh kerana Datuk Dr Khairuddin gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 342, Pegawai Diberi Kuasa (PDK) telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM1,000.00 kepada Khairuddin pada 7 Ogos 2020 dan beliau telah menjelaskan kompaun tersebut," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun, tiga ujian COVID-19 ke atas menteri Kabinet itu mendapati beliau negatif virus berkenaan.

"Sampel nasopharyngeal swab kali pertama telah diambil pada hari yang sama dan didapati negatif.

"Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif," ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, beliau akur dengan panduan dan peraturan serta arahan ditetapkan KKM selepas beliau dilaporkan tidak mematuhi kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Tindakan menteri itu terus menjadi isu hangat, baik di Dewan Rakyat dan dikecam kalangan netizen di media sosial.