Datuk hiba tidak sempat selamatkan cucu sulung

Ruzaini Zulkepli
Januari 26, 2018 05:40 MYT
Mohd Nazmi hiba kerana tidak sempat menyelamatkan cucunya daripada terperangkap lalu rentung. - Astro AWANI/RUZAINI ZULKEPLI
Seorang buruh binaan hanya mampu terkedu selepas melihat jasad cucu perempuan sulung kesayangannya yang ditemui rentung dalam kebakaran di Kampung Tebongon, Putatan, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3 pagi, Mohd Nazmi Raji, 50 tahun, tidak sempat menyelamatkan cucunya, 7 tahun yang ditemui rentung selepas kebakaran berkenaan meskipun dia cuba mencari mangsa ketika api sedang marak di rumah anak perempuannya, Siti Sarta, 26 yang terletak hanya kira-kira lima meter dari rumahnya.
Menurutnya, ketika insiden, dia sedang nyenyak tidur bersama ahli keluarganya yang lain sebelum tersentak dengan jeritan jiran berhubung kebakaran itu.
“Saya sempat membantu kebakaran tetapi api terus marak dan asap tebal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Mohd Nazmi dalam pada itu tidak dapat menyembunyikan rasa hiba kerana gagal menyelamatkan cucunya daripada kebakaran itu.
BACA: Kanak-kanak tujuh tahun rentung, ibu melecur 50 peratus
Beliau turut cedera di bahu akibat terkena serpihan kayu yang terbakar dalam kejadian tersebut.
Terdahulu, dalam kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah separa kayu di kampung tebongon itu telah mengorbankan murid tahun satu dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan berkenaan manakala ibunya, Siti Sarta, parah akibat melecur 50 peratus di badan.
#anak #API #cucu #hiba #kebakaran #mangsa #rentung #sekolah