IPOH: Kartunis tersohor tanah air, Datuk Mohd Nor Khalid atau dikenali sebagai ‘Datuk Lat’ menjadi individu pertama di Perak yang mendapat gelaran Seniman Diraja daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Datuk Lat, 72,  berkata beliau tidak menyangka bahawa dirinya akan menerima pengiktirafan berkenaan selain menzahirkan penghargaan kepada Baginda kerana berkenaan untuk menghargai jasa anak-anak seni.

“Tentang gelaran Seniman Diraja ini saya akan teringat kepada rakan-rakan saya yang dapat gelaran seperti ‘Pelukis Diraja’ dan sebagainya.

“Malah, jika di Selangor, Johor dan negeri-negeri lain kita lihat sumbangan karya seniman dan pengkarya dalam kalangan rakyat memang diiktiraf oleh Istana. Justeru saya mengucapkan syukur dan menjunjung kasih kepada baginda (atas gelaran Seniman Diraja),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Galeri Rumah Lat di sini yang disempurnakan Sultan Nazrin, pada Sabtu.

Pada majlis berkenaan baginda berkenan mengumumkan gelaran Seniman Diraja untuk diberikan kepada Datuk Lat sebagai menghargai peranan dan sumbangan besarnya dalam dunia seni sehingga mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, anak kelahiran Kota Bharu, Gopeng itu berkata beliau gembira selepas penantian lebih 10 tahun, Galeri Rumah Lat akhirnya menjadi realiti dan mula dibuka kepada umum.

Ujar Datuk Lat, idea asal pembinaan galeri itu datang daripada Sultan Nazrin sendiri ketika baginda masih menjadi Raja Muda Perak sebelum ini.

“Baginda bertitah untuk ada sebuah galeri yang menempatkan semua hasil karya dan lukisan saya di Meru Raya, Ipoh.

“Dan selepas itu, saya mengadakan pelbagai siri perbincangan dengan  kerajaan negeri untuk merealisasikannya. Akhirnya, saya mencadangkan agar ia dapat dibina di Batu Gajah yang mana terletak kira-kira 30 minit dari kampung kelahiran saya di Kota Bharu,” katanya.

Tambahnya lagi, beliau berharap agar Galeri Rumah Lat bukan sahaja dapat dijadikan sebagai galeri pameran malah turut dapat dijadikan lokasi kelas bengkel seni kepada golongan muda.

Sementara itu, anak bongsu daripada empat anak kepada Datuk Lat, Hadi Mohd Nor, 32, turut berkongsi perasaan gembira yang sama selain menyifatkan ia sebagai usaha mengenang segala hasil seni dan pencapaian bapanya.

“Sejak idea membina galeri itu timbul, beliau tidak berhenti daripada bercakap tentangnya kerana terlalu teruja. Dan hari ini, kami gembira akhirnya Galeri Rumah Lat siap dan boleh menerima kunjungan orang ramai,” katanya yang juga merupakan seorang penulis skrip.

Galeri Rumah Lat di bawah pengurusan Lembaga Muzium Negeri Perak dibina di atas tanah berkeluasan 0.0412 hektar  itu menempatkan kesemua hasil karya seni yang dihasilkan Datuk Lat pada sepanjang tempoh kariernya sejak dari tahun 1962.

Terletak di Jalan Bemban dan kira-kira 21 kilometer dari Bandar Raya Ipoh, Galeri Rumah Lat turut terdiri daripada ruang pameran, pejabat, kafe, serta kedai cenderahati.

Galeri Rumah Lat dibuka setiap hari, dari jam 8 pagi sehingga 6 petang.