MALAYSIA
DBKL adakan libat urus bersama peniaga Desa Pandan esok - Datuk Bandar

Maimunah berkata pertemuan bersama sembilan peniaga terbabit antara lain akan membincangkan beberapa cadangan alternatif berkaitan pelaksanaan projek naik taraf. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan sesi libat urus lanjutan bersama golongan peniaga di Desa Pandan berkaitan projek naik taraf infrastruktur di kawasan itu, esok.
Ringkasan AI
- DBKL akan adakan sesi libat urus bersama sembilan peniaga di Desa Pandan, melibatkan dua menteri, bagi membincangkan alternatif projek naik taraf infrastruktur yang tertangguh.
- Kerja perobohan ditangguh susulan kekecohan dan arahan rundingan semula, dengan janji DBKL untuk pertimbang pandangan peniaga serta semakan pelan melalui sesi terdahulu.
- Projek pelebaran jalan bermula sejak 2017 atas aduan penduduk, dan DBKL menepis dakwaan pilih kasih, dengan keputusan dibuat berdasarkan data teknikal dan kajian impak.
"Saya telah berbincang dengan Dr Zaliha dan Datuk Seri Johari termasuk rakan-rakan di DBKL, dan kita tiada masalah untuk turun padang bertemu peniaga," katanya dalam sidang media selepas mengiringi Menteri Digital Gobind Singh Deo melawat Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di sini hari ini.
Maimunah berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai perkembangan projek naik taraf menerusi inisiatif 'Lestari Niaga' di Jalan 2/76, Desa Pandan di sini, yang dilaporkan kerja perobohan struktur dijadual dilaksanakan pada 15 Julai lepas, terpaksa ditangguhkan susulan berlaku kekecohan di tapak operasi.
Khamis lepas, media melaporkan Dr Zaliha mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan DBKL segera mengadakan rundingan bersama peniaga terlibat di kawasan berkenaan serta memberikan pilihan lokasi perpindahan yang sesuai.
Maimunah turut menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa DBKL bersifat pilih kasih dalam menjalankan tugas termasuk dalam tindakan perobohan struktur.
Beliau berkata sebarang keputusan termasuk kerja meroboh dibuat selepas melihat aspek teknikal, berpandukan data, soal aliran trafik serta melakukan kajian impak yang turut merangkumi empat sesi libat urus bersama penduduk.
"Cadangan pelebaran jalan ini (di Desa Pandan) bermula 2017 lagi atas aduan penduduk bahawa jalan sempit sesak dan sebagainya.
"Dari situ juga DBKL buat kajian, mencari alternatif untuk selesaikan isu diutarakan penduduk dan dalam setiap sesi libat urus itu, kita ambil maklum terhadap setiap bantahan dan lakukan pindaan (pada pelan)," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami