KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil menjelaskan tindakannya merobohkan struktur khemah dan binaan di Jalan Titiwangsa, pada 11 Januari lalu.

Dalam satu kenyataan, DBKL berkata, struktur terbabit telah didirikan sejak Oktober tahun lepas malah terdapat dua iklan digantung di luar pagar menawarkan tempahan pakej perkahwinan dan pelbagai acara di Laman Tinta Wangsa.

"Semakan mendapati, rumah banglo dan tanah di atas lot yang dinyatakan merupakan hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) di bawah kawalan Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri untuk kegunaan kediaman.

"Rumah kerajaan di atas lot itu telah disewakan kepada Persatuan Wartawan Melayu (PWM) bagi tujuan dijadikan Pejabat Urusan," katanya pada Sabtu.

Pada Rabu lalu, Persatuan Wartawan Melayu Malaysia (PWM) mendakwa DBKL telah menceroboh dan merobohkan khemah 'marquee' dan binaan di kawasan premis PWM di Jalan Titiwangsa, pada 11 Januari lalu.

Presidennya, Datuk Yazid Othman berkata, DBKL meroboh khemah dan binaan di dalam kawasan premis persatuan itu tanpa notis.

Yazid berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang perniagaan sebaliknya khemah itu hanyalah untuk persediaan program sahaja.