KUALA LUMPUR: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu dijadikan sebagai gedung budaya yang penting dalam pembinaan sebuah negara yang bertamadun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun ekonomi dan teknologi adalah dasar sesebuah negara, tetapi ia tidak boleh berkembang tanpa pembinaan tamadun, sebaliknya memerlukan kekuatan nilai, akhlak serta semangat karamah insaniah.

"Sebab itu DBP satu gedung yang penting dan saya berikan dokongan yang cukup kuat kepada DBP, baik penerbitan atau kegiatannya. Kita mahu lihat dalam bulan-bulan akan datang, DBP itu kembali sebagai gedung budaya yang hebat.

"Kerana ini, saya beri jaminan untuk kita angkat dan menyempurnakan semangat addabani rabbi fa ahsana ta'dibi (Tuhanku telah mendidikku, sehingga menjadikan baik pendidikanku)," kata Perdana Menteri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil “Citra Budaya dan Peradaban Bangsa Malaysia" yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Ummah (WADAH), Universiti Selangor (UNISEL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini.

Berucap lanjut, Anwar berkata buku-buku yang dihasilkan oleh DBP mesti diwacanakan di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Justeru, beliau mengarahkan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Awang Sariyan dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk merangka usaha bagi memastikan perkara tersebut dapat direalisasikan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menambah semua pihak boleh menghormati dan memuliakan perbezaan pendapat tetapi ia wajar berdasarkan kekuatan ilmu dan bukan parti atau tokoh.

"Saya nak manfaatkan waktu ini untuk menyatakan bahawa untuk berkecimpung dalam gerakan dan mendokong semangat islah dan perubahan, serta mengangkat martabat negara bangsa dan Madani, ianya mesti berteraskan kepada keyakinan mendalam dan ilmu.

"Sebab itu dalam memahami Islam itu sendiri, kita bawa kupasan yang cukup luas daripada pandangan-pandangan tokoh gerakan Islam kepada pemikir-pemikir semasa," ujar Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata kerangka pemikiran yang disebut sebagai idea pendorong mampu menetapkan hala tuju keluarga, masyarakat, serta negara ke tahap yang lebih baik.