Kerajaan perlu melihat semula struktur dasar pendidikan negara agar isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dapat ditangani dengan lebih baik.

Menurut Pengarah Strategik Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hassan, dasar pendidikan negara sebelum ini mewujudkan budaya dan mentaliti tidak sihat dalam kalangan masyarakat mengenai golongan yang tidak memasuki universiti.

"Lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), jika anda tidak masuk universiti, anda akan dianggap bodoh dan tidak bersama masyarakat. Jadi budaya telah 'memaksa' mereka masuk universiti, tidak kira IPTA (institut pengajian tinggi awam) atau IPTS (institut pengajian tinggi swasta) atau ada kelayakan atau tidak, hanya perlu masuk dulu.

"Apabila dah masuk, kena bayar yuran. Kalau tiada duit, terpaksa buat pinjaman. Dah masuk universiti, tak janji akan dapat ijazah. Lain orang, lain (situasinya)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berdebat dengan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ulya Aqamah Husamudin dalam program Debat AWANI yang bertajuk "PTPTN, Kenapa Susah Sangat Nak Bayar Hutang?" terbitan Astro AWANI yang berlangsung di Bukit Kewangan, di sini, pada Ahad.

Kerajaan pada 23 Nov lalu telah mengumumkan potongan gaji bagi pinjaman PTPTN sebanyak RM40 atau dua peratus sebaik gaji peminjan mencecah RM2,000 sebulan.

Sebagai membalas hujan Wan Agyl, Ulya Aqamah berkata, penyelesaian jangka pendek yang dibuat Kerajaan baru-baru ini merupakan perbezaan dasar pendidikan negara antara pentadbiran dahulu dan sekarang.

"Sebelum ini, ada Master's (Ijazah Sarjana) tetapi tidak dapat kerja, pun kena bayar PTPTN. Kalau dapat gaji setaraf lepasan SPM pun kena bayar PTPTN, atau tidak habis belajar pun kena bayar PTPTN. Ini semua apa yang berlaku dahulu kerana pembayaran PTPTN dahulu berdasarkan tempoh iaitu enam atau 12 bulan selepas habis belajar, sudah kena bayar.

"Dalam penyelesaian kami, hutang ini perlu dibayar berdasarkan gaji. Pergi cari kerja gaji RM1,200 tidak payah bayar lagi hutang PTPTN, dah cukup RM2,000 baru bayar," jelasnya.

Ulya Aqamah, yang juga Ketua Penerangan Armada Bersatu, berkata kerajaan tidak boleh menghalang sekiranya pelajar yang mempunyai keputusan SPM kurang memuaskan, mahu memasuki universiti.

Tambahnya, kerajaan juga telah menyediakan peluang yang sama-rata melalui pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai pilihan alternatif.