KUALA LUMPUR: Menyifatkan pembentangan Ekonomi MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti tiada hala tuju, Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman tampil membentangkan dasar yang disebut beliau sebagai Kestabilan Nasional.

Dalam Debat Model Ekonomi Baharu Malaysia yang disiarkan di Astro AWANI dan RTM secara langsung pada Rabu, Ahli Parlimen Bachok itu berkata, dasar itu bertunjangkan empat teras iaitu Keadilan Ekonomi; Kitaran Ekonomi; Kesederhanaan Ekonomi dan Integriti Ekonomi.

Tegasnya lagi, Kestabilan Nasional bukan sekadar janji atau slogan, tapi dapat menangani isu-isu yang dilihat membelenggu pertumbuhan ekonomi sejak sekian lamanya.

“Dalam keadaan ekonomi negara tak stabil, PM (Anwar) tak stabil, ke hulu ke hilir menaiki helikopter berlagak seperti selebriti, tetapi tiada hala tuju dan tiada legasi. Negara memerlukan kestabilan dan saya meletakkan National Stability sebagai matlamat model baharu ekonomi Malaysia.

Kestabilan nasional harus jadi matlamat

“Maka apabila matlamat jelas, we need stability… bukan seperti Ekonomi MADANI yang mahu menjadikan Malaysia sebagai antara 30 ekonomi terbesar dalam dunia, (kononnya) we want to be among the biggest, but it doesn’t mean the best. We want to be the best, stable… namun apa guna jika kaya itu terus kaya, yang miskin semakin miskin,” katanya lagi.

Mengulas mengenai teras pertama iaitu Keadilan Ekonomi, Syahir berkata, kutipan cukai harus bersifat adil kepada semua golongan dan perlu inklusif.

“Peniaga tetapkan harga jualan barangan yang munasabah, rakyat mendapat gaji dan upah (selari) dengan kemahiran dan produktiviti tinggi. Pencukaian tidak harus bersifat menindas, dan tidak counter-productive,” katanya lagi.

Teras kedua yang digariskan beliau iaitu Kitaran Ekonomi, jelas Syahir, akan memberi penekanan kepada usaha untuk merapatkan jurang kekayaan antara masyarakat di bandar dan luar bandar, seperti mana yang dinyatakan dalam laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Syahir optimis ia dapat menyelesaikan isu-isu yang menghambat seperti kronisme, monopoli, Ali Baba, kartel dan permit import (AP) yang dilihat memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja.

Sementara mengenai teras Kesederhanaan Ekonomi pula, Syahir menjelaskan, ia dirangka bagi memastikan Kerajaan Persekutuan tidak lagi boros dan membazirkan kewangan negara, yang sebelum ini dilihat mengakibatkan projek-projek terbengkalai dan meningkatkan hutang negara.

Dan teras terakhir iaitu Integriti Ekonomi, kata beliau, merupakan teras yang paling penting iaitu memastikan kerajaan bebas daripada pengaruh pemimpin yang tidak mementingkan tatakelola yang baik dalam pengurusan kewangan.