Skip to main content

Malaysia

'Dedah syarikat punca jerebu, pengguna perlu ada hak pilih produk' - SAM

Kebakaran hutan di Indonesia kembali mencetuskan jerebu rentas sempadan, menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan Malaysia terjejas dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam. - Gambar fail
Kebakaran hutan di Indonesia kembali mencetuskan jerebu rentas sempadan, menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan Malaysia terjejas dan menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) mendesak kerajaan Indonesia supaya mendedahkan senarai syarikat yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan dan tanah di Indonesia yang menyebabkan jerebu rentas sempadan, bagi membolehkan orang ramai mengambil tindakan termasuk memboikot produk mereka.

Presidennya, Meena Raman berkata, pendedahan senarai berkenaan penting supaya masyarakat dapat mengenal pasti syarikat yang didakwa terlibat serta memberikan tekanan kepada pihak berkenaan agar bertanggungjawab.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh menyuarakan bantahan melalui demonstrasi dan tindakan pengguna, termasuk boikot, bagi meningkatkan tekanan terhadap syarikat terbabit.

“Kami mahu senarai syarikat ini didedahkan supaya orang ramai boleh mengambil tindakan, misalnya memboikot produk mereka atau mengadakan protes di hadapan syarikat.

“Kita tidak boleh bertahan lagi kerana perkara ini bukan kejadian baharu. Setiap tahun ia berulang dan orang ramai diminta untuk berdiam diri,” katanya semasa temu bual khas bersama Astro AWANI. 

Menurut Meena, keadaan itu semakin membimbangkan apabila jerebu memberi kesan kepada kesihatan orang ramai, termasuk kanak-kanak, selain mengganggu kehidupan harian masyarakat.

Beliau turut mempersoalkan mengapa nama syarikat berkenaan masih belum didedahkan, sambil menyifatkan keadaan itu menimbulkan persepsi bahawa terdapat pihak yang melindungi kepentingan syarikat terbabit.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persoalan itu memerlukan penjelasan daripada pihak berkuasa Indonesia.

Mengulas aspek penguatkuasaan, Meena berkata, tindakan undang-undang oleh Malaysia berdepan batasan bidang kuasa memandangkan syarikat yang dikaitkan dengan kebakaran beroperasi di Indonesia.

"Kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap syarikat yang didapati bertanggungjawab, selaras dengan undang-undang negara itu.

"Kerajaan Malaysia juga perlu mempertingkatkan tekanan diplomatik supaya isu jerebu rentas sempadan dapat ditangani secara berkesan dan tidak terus berulang setiap tahun," katanya lagi. 

Baru-baru ini, Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur memaklumkan Indonesia mengenal pasti 198 suspek individu dalam siasatan kes kebakaran hutan dan tanah, selain memproses 97 laporan polis melibatkan syarikat sebagai sebahagian daripada tindakan penguatkuasaan undang-undang bagi menangani kebakaran yang turut menyebabkan jerebu di Malaysia.

KBRI Kuala Lumpur memaklumkan bahawa Polis Republik Indonesia mengendalikan 247 laporan polis melibatkan individu, manakala Kementerian Alam Sekitar Indonesia merekodkan 57 entiti perniagaan dengan kawasan konsesi yang terbakar di lapan wilayah.

Must Watch Video

Advertisement