MALAYSIA
Deklarasi media sosial ASEAN dimuktamadkan Oktober ini - Fahmi

Satu deklarasi mengenai penggunaan media sosial akan menjadi rujukan bersama bagi negara-negara ASEAN dalam menangani cabaran penyalahgunaan media sosial. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Satu deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan platform media sosial yang memberi tumpuan kepada penggunaan dan pengawalseliaan media sosial di era kecerdasan buatan (AI) dijangka dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung Oktober ini.
Ringkasan AI
- Deklarasi Serantau Mengenai Media Sosial & AI: ASEAN dijangka memuktamadkan Deklarasi Kuala Lumpur semasa Sidang Kemuncak ke-47 Oktober ini, sebagai rujukan bersama untuk menangani penyalahgunaan media sosial dan teknologi AI seperti penipuan serta penyebaran maklumat palsu.
- Pendekatan Proaktif & Tanggungjawab Platform: Platform media sosial disaran melabelkan kandungan yang dijana AI sebagai -generated content- bagi membantu pengguna mengenal pasti maklumat sahih dan mengelakkan penipuan digital.
- Kerjasama Serantau & Garis Panduan ASEAN: Deklarasi ini memperkukuh kerjasama ASEAN melalui pendekatan seragam dan pembangunan Garis Panduan Penggunaan Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, selaras dengan nilai kebersamaan dan keselamatan digital serantau.
"Ia memberi ruang kepada negara anggota untuk mengguna pakai strategi yang lebih kurang serupa dalam menghadapi cabaran baharu, khususnya melibatkan penggunaan dan penyalahgunaan AI dalam media sosial,” katanya ketika sidang media Majlis Perasmian IPRM AI Festival 2025, Global PR AI Strategic Communication Insights, di sini hari ini.
Malah, Fahmi berkata, deklarasi itu dijangka memperkukuh kerjasama serantau dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab, selaras dengan perubahan landskap teknologi komunikasi masa kini.
Tambahannya, antara elemen penting yang akan dibincangkan dalam deklarasi itu ialah keperluan platform media sosial bersikap lebih proaktif termasuk melabelkan kandungan yang dihasilkan AI bagi membendung penyebaran maklumat palsu dan mengekang penipuan digital.
“Kita lihat platform juga perlu bersikap proaktif untuk melabelkan kandungan AI sebagai ‘generated content’. Ini penting supaya pengguna dapat mengenal pasti maklumat yang sahih dan tidak mudah terperdaya,” ujarnya lagi.
Semalam, media melaporkan, ASEAN berharap Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN dapat diterima pakai, sebagai usaha bersama untuk memupuk tingkah laku dalam talian lebih selamat dan inklusif di rantau ini.
Dalam Kenyataan Bersama yang dikeluarkan pada Jumaat susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-58 pada Rabu, kesemua menteri menzahirkan penghargaan atas komitmen Menteri-Menteri ASEAN Bertanggungjawab terhadap Maklumat (AMRI) dalam memupuk penggunaan platform media sosial secara selamat dan bertanggungjawab.
Menurut kenyataan itu, Menteri-Menteri Luar ASEAN mengambil maklum mengenai perkembangan Garis Panduan ASEAN mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab, yang dirangka untuk menyokong pendekatan seragam di peringkat serantau dalam penglibatan digital selaras dengan nilai kebersamaan ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami