PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan isu pengeluaran sawit di negara ini tidak akan terjejas susulan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, delegasi Malaysia bakal mengadakan pertemuan bersama wakil EU di Brussel bagi membincangkan perkara itu.

Menurut Fadillah, kerajaan akan memastikan produk sawit negara tidak akan berdepan sebarang masalah apabila memasuki Eropah.

"Misi ke Brussel adalah untuk jumpa kepimpinan EU termasuk pihak industri bagi adakan sesi libat urus untuk mendapatkan penjelasan sebenarnya tentang pengenalan EUDR.

"Tidak akan ada tindakan semberono di mana bila produk kita sampai di sana ia akan disekat dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjuran Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, di sini hari ini.

Selain itu, pertemuan itu juga katanya penting bagi menjalinkan hubungan persefahaman antara negara.

Usaha itu jelasnya, termasuk perincian terhadap isu kelestarian alam sekitar selari dengan standard dunia.

"Malaysia juga memberi komitmen bahawa pematuhan kepada alam sekitar dan semua standard antarabangsa termasuk pekerja dengan mewujudkan skim pensijilan minyak sawit mampan Malaysia (MSPO).

"Ini bagi memastikan kelestarian alam sekitar agar tidak akan ada lagi pembukaan hutan-hutan simpan kecil... diceroboh dan sebagainya.

"Sebab itu pentingnya misi hujung bulan ini, diharapkan kita dapat penjelasan yang baik dan komitmen mereka (EU) supaya Malaysia tidak akan di rating sebagai negara berisiko tinggi, tidak sepatutnya berlaku sedemikian apatah lagi kepada pekebun kecil," katanya lagi.

Dalam pada itu, Malaysia turut menyambut baik komitmen negara jiran iaitu Indonesia yang turut membawa suara yang sama berhubung isu berkenaan.

Jelas Fadillah, kesepakatan itu juga telah dibuat bersama Indonesia selain kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk mengangkat isu terbabit di peringkat ASEAN.

"Misi kita di Eropah juga bersama Indonesia, ini hasil perjumpaan Presiden Indonesia dan Perdana Menteri kita... diikuti perjumpaan saya dengan menteri penyelaras berhubung perdagangan.

"Insya-Allah dibincangkan di ASEAN Summit supaya ia tetap menjadi agenda di peringkat Asia," ujarnya lagi.

Baru-baru ini, EU menyatakan pekebun kecil Felda yang mengeluarkan sawit tidak akan menerima implikasi berhubung pelaksanaan EUDR.

Duta Besar EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, ini berikutan peserta projek tanah Felda itu tidak terbabit dalam usaha pembasmian hutan bagi membuka ladang-ladang baharu sejak 1990.