KUCHING: Pengusaha sektor penternakan di Sarawak perlu memainkan peranan dalam memastikan tahap kebersihan ladang bagi mengelak penularan wabak Demam Babi Afrika (ASF).

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Dr Adrian Susin Ambud memaklumkan, pemantauan dan pemeriksaan sentiasa dijalankan bagi memastikan haiwan ternakan bebas daripada sebarang penyakit berjangkit.

‘’Kesemua penternak kita pantau dan mereka sedia maklum akan penyakit ini dan mereka lebih berhati-hati.

‘’Ladang mereka juga dipantau rapi oleh JPVS dan kesemua mereka mempunyai lesen jadi produk mereka itu dijamin selamat,’’ katanya.

Selain itu, penternak di negeri itu juga ditegah daripada memberi lebihan dapur kepada haiwan ternakan.

‘Sekiranya mereka tidak memiliki sumber makanan komersial, mereka perlu memastikan makanan diberikan dimasak terlebih dahulu selama 30 minit bagi memastikan virus dalam lebihan makanan mati,’’ tambahnya.

Ujarnya lagi, penternak yang tidak menjaga kebersihan terutama ketika menjalankan kerja-kerja di ladang ternakan juga boleh menjadi faktor kepada penyebaran virus.

Bagaimanapun, masyarakat tidak perlu risau dan panik kerana virus berkenaan tidak menjangkiti manusia, katanya.

‘’Orang ramai tidak perlu risau kerana di Sarawak ini kita punya pembekal daging babi adalah dari kawasan yang bebas penyakit ASF.

‘’Tambahan lagi virus ini bukan genetik dan tidak menjangkiti manusia, jadi tidak perlu risau,’’ ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

BACA: Limbang, Kapit dan Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

Terdahulu, tiga bahagian di Sarawak, Limbang, Kapit dan Miri diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit berkenaan susulan penularan virus ASF di Sabah dan Utara Kalimantan Indonesia.

Untuk itu orang awam tidak dibenarkan untuk memindah atau membawa babi hidup, daging atau hasil produk haiwan itu keluar dari kawasan kawalan di bawah Seksyen 35(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Seksyen itu turut memperuntukkan bahawa orang awam tidak dibenarkan membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produknya tanpa permit, membeli atau menjual atau menyimpan babi hutan dan babi hutan liar.

Kegagalan pematuhan arahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.