PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi menurun sebanyak 11 kes atau 0.5 peratus kepada 2,299 pada Minggu Epidemiologi ke-39 (ME39) iaitu tempoh 24 Sept hingga 3 Sept berbanding 2,310 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata tiga kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan pada ME39.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini ialah 89,474 kes berbanding 43,544 kes bagi tempoh sama pada 2022 iaitu peningkatan sebanyak 45,930 kes atau 105.5 peratus.

"Sejumlah 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 26 kematian bagi tempoh yang sama pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 60 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME39 berbanding 61 pada minggu sebelumnya, dengan 46 lokaliti tersebut adalah di Selangor, sembilan lokaliti di Kuala Lumpur dan masing-masing dua di Putrajaya dan Pulau Pinang, manakala di Perak, Kelantan dan Sarawak masing-masing mencatatkan satu lokaliti.

Bagi survelan chikungunya, Datuk Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak enam kes direkodkan pada ME39 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini, sebanyak 175 kes.

Bagi survelan zika pula, sebanyak 2,535 sampel darah dan 241 sampel urin telah disaring dan hasilnya semua negatif.

-- BERNAMA