Demi memuaskan ketagihan minum air ketum, seorang suami sanggup menerajang dan memulas tangan isterinya.

Suami berkenaan bertindak sedemikian selepas isterinya cuba menghalang dia keluar dari rumah di Taman Terkukur, Kuala Terengganu, pagi 27 Januari lalu.

Memetik akhbar tempatan, suspek itu memberitahu hendak keluar minum air ketum sebelum isterinya cuba menghalang dan meminta menjaga anak kerana hendak keluar ke pasar.

"Suspek tetap berkeras dan bertindak menutup pintu pagar rumah dengan batu supaya isterinya tidak dapat keluar.

"Suspek sempat mengambil anak mereka yang berusia enam bulan dan diletakkan di dalam kereta sebelum mengugut isterinya supaya membawanya bersama jika masih berdegil hendak ke pasar," katanya.

Isteri suspek masih cuba menghalangnya keluar dengan mengambil batu yang diletakkan suspek di pintu pagar dan membaling ke arah motosikal suaminya.

Malangnya, tindakan itu menyebabkan suspek mengamuk dan bertindak ganas menerajang serta memulas pergelangan tangan isterinya hingga terseliuh.

"Akibat perbuatan tersebut, isteri berkenaan mengalami sakit di seluruh anggota badan selain bengkak dan sakit di pergelangan tangan," katanya.

Bimbang dengan keselamatan diri dan anak, isteri itu membuat laporan polis kerana kejadian itu bukan kali pertama dilakukan suspek sebaliknya telah berulang berkali-kali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos mengesahkan ada menerima laporan kejadian yang dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu.

Suspek ditahan di tepi jalan Sultan Oma pada 28 Januari lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.