KUANTAN: Masyarakat Orang Asli di Tasik Chini menyifatkan saranan Istana Pahang bagi pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar di Tasik Chini adalah tepat dan mesti dijunjung.

Bagi seorang penduduk Orang Asli, Ismail Mohamad, titah itu memberi peluang kepada semua pihak untuk memperbaiki segala kerosakan alam yang dilakukan disebabkan aktiviti perlombongan.

Tambah Ismail, apa yang mereka minta hanya supaya keindahan alam dan keunikan flora dan fauna Tasik Chini tidak dimusnahkan, sebaliknya khazanah negara itu dipelihara demi masa depan generasi akan datang.

"Harapan saya serta penduduk kampung ini, kita nak kembalikan keriuhan seperti macam di era 70-an dan 80-an dulu dengan kedatangan pelancong-pelancong asing dengan begitu ramai di Tasik Chini.

"Kita tak mahu lagi riuh kerana pencemaran kerana (isu) pencerobohan itu yang kita suarakan pada hari ini," ujarnya.


Hutan Simpan | Keluasan Hutan Simpanan Kekal Chini akan ditambah

Ismail menegaskan, komunitinya amat menyayangi kawasan istimewa itu dan mahu berkongsi keindahannya dengan semua orang.

"Kami masyarakat Orang Asli sayang tempat ini bukannya kerana untuk kami satu kaum saja. Semua kaum boleh datang ke sini untuk sama-sama kita menikmati keindahan, kedamaian dan keharmonian di kawasan ini seperti dulu," katanya penuh harapan.

Hassan Ismail mahu orang ramai memperbetulkan tanggapan tentang Orang Asli. - Astro AWANI

Sementara itu, bagi seorang lagi penduduk, Hassan Ismail, masyarakat Orang Asli tidak menolak kemajuan malah mereka boleh menerima apa jua pembangunan di kawasan mereka tetapi bukan pembangunan yang mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar.

"Orang Asli juga seringkali disalah erti. Kadang-kadang kita tak suka pada pembangunan yang datang ke satu tempat itu, tapi tengok kepada keadaanlah. Kalau pembangunan itu merosakkan alam semula jadi, saya terus terang memang kita membantah," tegasnya.

Pada Isnin, menerusi kenyataan media, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah menitahkan supaya perlombongan di sekitar Tasik Chini dihentikan dan dilakukan segera pemeliharaan serta pemulihan.

Hari ini melalui satu kenyataan media, Kerajaan Negeri akan bertindak segera atas titah dan saranan tersebut terutamanya mengenai peluasan Hutan Simpanan Kekal Chini daripada 4,600 hektar sepertimana Kerajaan Negeri luluskan untuk pewartaan pada 13 Mac 2019, kepada antara 6,000 dan 7,000 hektar.

BACA: Pemangku Raja Pahang mahu aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan