KUALA LUMPUR:Biar apa pun jua sistem kerajaan, baik demokrasi mahupun monarki, ia tetap akan gagal jika pemimpin yang terpilih tidak mengamalkan nilai yang bagus untuk rakyat dan negara, tegas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengambil Amerika Syarikat (AS) sebagai contoh, Dr Mahathir berkata, negara itu merupakan antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi dengan baik sebelum ini.

Namun, ujarnya lagi, apabila berada di bawah pentadbiran pemimpin yang salah, akhirnya sistem itu tetap akan gagal dan akan mengganggu agenda pembangunan negara.

“Bukan sistem (kerajaan) itu yang menjadi masalah, sebaliknya mereka yang mengendalikan sistem itu. Jika pihak itu tidak mempunyai kualiti yang bagus, maka sistem terbaik juga akan gagal.

“Walaupun kita mengamalkan sistem (pemerintahan beraja) raja mutlak (absolute monarchy)… tetapi jika raja itu seorang yang sangat bertimbang rasa, mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat, membelanjakan wang negara untuk pembangunan dan keperluan negara, maka sistem raja mutlak itu boleh berfungsi dengan baik,” tegasnya lagi.

Ujarnya lagi, demokrasi yang dikatakan sistem terbaik pernah dicipta manusia juga boleh rosak sekiranya pemimpin pilihan rakyat menyalahgunakan kuasa yang diberi.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya bertajuk – “A Vision on System of Government”, sempena pembukaan KL Summit 2021 secara dalam talian hari ini.

Dialog kali kedua kelolaan Yayasan Kepimpinan Perdana itu, turut disertai bekas Timbalan Perdana Menteri Turki, Dr Emrullah Ishler; Setiausaha Agung KL Summit, Dr Abd El-Razzak Makri; bekas Menteri Perancangan Dan Kerjasama Antabangsa Mesir, Dr Amr Darrag; dan bekas Menteri Luar Tunisia, Dr Rafik Abdessalam.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau berpandangan bahawa dunia negara Islam perlu kembali kepada ajaran asal tentang nilai kehidupan, seperti mana yang disebut dalam al-Quran.

“Ini juga jelas, bahawa kita ini dikatakan Muslim, tetapi kita tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar, sebaliknya hanya mengikut perasaan kita. Kita melakukan perkara berdasarkan ajaran pihak atau kumpulan yang menggalakkan kita membuat perkara bertentangan dengan Islam.

“Jadi sekiranya kita ingin mempunyai pemimpin yang bagus, malah dalam dunia negara-negara Islam sekali pun, kita perlu kembali kepada ajaran al-Quran, buat apa yang al-Quran nyatakan, dan bukannya apa yang setengah pihak mahukan.

“Jika ini berlaku, maka kita akan mempunyai sekumpulan pemimpin yang berkualiti, dan boleh menyediakan urus tadbir yang lebih baik untuk apa jua negara, tanpa mengira sistem yang dipakai,” ujarnya lagi.