Skip to main content

Malaysia

Dendam lama dipercayai punca OKU dibunuh, suspek tinggalkan mangsa seolah-olah kemalangan

Mohd Yusoff (kanan) menunjukkan barang kes yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.
Mohd Yusoff (kanan) menunjukkan barang kes yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa. -Foto Sinar Harian

KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan dendam lama menjadi motif utama pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, yang ditemukan parah di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok pada 14 April lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil siasatan terhadap tujuh suspek termasuk pasangan suami isteri mendapati mereka mempunyai sejarah perselisihan faham dengan mangsa.

"Konflik berpanjangan itu dipercayai membawa kepada insiden pembunuhan tersebut. Mungkin ada dendam antara mereka sehingga menyebabkan suspek dan mangsa bergaduh di sebuah rumah di daerah Kota Bharu," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Mohd Yusoff berkata, mangsa dipercayai dipukul pada bahagian dada menggunakan blok enjin motosikal manakala topi keledar digunakan untuk memukul mukanya semasa pergaduhan.

Katanya, suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati dekat Bachok.

"Siasatan mendapati dalang utama kes ini ialah dua lelaki berusia 25 dan 28 tahun, manakala individu lain dipercayai berperanan membantu termasuk menempatkan mangsa di lokasi kejadian.

"Sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit dan dua batang kayu antara barang dirampas, selain blok enjin motosikal serta topi keledar yang dipercayai digunakan dalam kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan bagi mewujudkan gambaran seolah-olah Muhammad Zakir Fikry terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, kesemua tujuh suspek kini direman manakala dua suspek utama dijangka dituduh di mahkamah dalam masa terdekat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Muhammad Zakir Fikry meninggal dunia di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian pada jam 12.55 pagi pada 15 April selepas mengalami kecederaan parah.

Mangsa sebelum itu ditemukan terbaring di tepi jalan pada jam 7.30 pagi dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka dan kepala dengan punca kematian disahkan akibat trauma tumpul.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian

Must Watch Video