Pengalaman ahli keluarga yang menghidap demam denggi pastinya satu pengalaman yang menakutkan.

Bagi Vanessa Vivekananda, 44 tahun, ia telah mengubah kehidupannya secara 180 darjah kerana tidak lagi mahu nyamuk aedes mendekati ahli keluarganya.

Hanya beberapa minggu lalu sahaja tidak terlintas fikirannya keperluan untuk mengambil langkah pencegahan nyamuk aedes sehingga suaminya, Ong Kok Ching, 44 tahun disyaki menghidap demam denggi.

"Mula dia rasa badan panas jadi saya tergerak hati memikirkan mungkin kerana denggi. Jadi pada hari pertama doktor check darah dia dan kata bukan denggi cuma demam berjangkit dan bagi antibiotik.

Tetapi hari kedua saya lihat dia masih demam jadi saya macam kuat lagi naluri fikirkan ini macam denggi." Vanessa mengimbas kembali apabila mula mengesyaki suaminya menghidap denggi.

Namun ibu kepada 3 orang anak itu tetap berkeras agar suaminya pergi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan doktor mengesahkan suami beliau menghidap denggi.

Biarpun selepas mendapat rawatan hospital Vanessa tidak putus asa mencuba pelbagai petua juga digunakan untuk memastikan suaminya kembali sihat.

"Salah satu petua adalah minum air daun betik yang telah ditumbuk and satu lagi petua orang cina minum sup "bulls frog" iaitu katak dicampur dengan peria. Minum air. Lepas itu minum air isotonik, minum air kurma, makan jambu batu dan macam-macam lagi semua petua telah dicuba." tambah Vanessa.

 Vivekananda Vanessa

Mengambil ikhtibar daripada apa yang menimpa suaminya itu, Vanessa juga kini lebih berjaga-jaga untuk memastikan nyamuk aedes tidak lagi mengigit ahli keluarganya.

"Dulu saya tidak begitu prihatin pasal nyamuk ini. Saya macam tidak berapa suka sembur ubat nyamuk sebab takut kesan sampingannya kerana ia bahan kimia. Tetapi apabila terkena inj, kami memasang ubat nyamuk 24 jam untuk memastikan tiada nyamuk dan saya akan tutup semua pintu dan tingkap. Kalau selama ini saya tidak pernah tutup, sekarang ia sentiasa ditutup." jelas Vanessa lagi.

Dia kini juga memastikan tiada kawasan bertakung di bawah pasu pokok dan sentiasa menyembur rumahnya untuk mencegah nyamuk.

Segala ilmu pengetahuan mengenai pencegahan nyamuk aedes juga diturunkan kepada anak-anaknya untuk mengelak penyakit sama yang menimpa suaminya itu berulang.

Malah Vanessa juga kerap menyertai aktiviti gotong-royong bersama jiran-jiran di kawasan perumahannya di Taman Tasik Indah.

Vivekananda Vanessa

Setakat 10 Februari lalu, jumlah kes denggi yang dicatatkan di kawasan perumahan itu telah mencecah 19 kes sekaligus merekodkan kawasan paling tinggi kes demam denggi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Timbalan pengerusi persatuan penduduk Taman Tasik Indah, Andy Ng melihat ramai kini lebih aktif terlibat dalam usaha menghapuskan nyamuk aedes berikutan sudah serik dengan penularan wabak sehingga mencapai paras tidak terkawal itu.

"Kami semua mula keluar dari rumah untuk memeriksa longkang-longkang dan beri kerjasama sepenuhnya kepada pegawai kementerian kesihatan untuk periksa tempat pembiakan nyamuk. Kami juga sentiasa peka terhadap persekitaran dan memeriksa dari rumah ke rumah untuk menghapuskam tempat pembiakan nyamuk." kata Andy.

Seorang lagi penduduk Foo Yu Fong yang juga mempunyai anak lelaki yang baru sembuh daripada demam denggi berkata langkah pencegahan lebih baik daripada merawat.

"Saya berharap penduduk memberi kerjasama sepenuhnya khususnya membersihkan tempat pembiakan nyamuk aedes. Pastikan tiada pasu bertakung air dan bersihkan semua longkang rumah." kata Foo.

Namun ramai masih bimbang peningkatan kes begitu mendadak dan turut mengambil inisiatif termasuk mengurangkan aktiviti di luar rumah.

"Sampai hari ini saya takut bawa cucu saya keluar. Biasanya pada pukul 6 petang saya akan keluar bawa cucu dan berjumpa kawan-kawan sekarang saya sudah takut. Tetapi di rumah saya amat jaga kebersihan dan pastikan air semua buang habis." kata Eva Ooi juga seorang penduduk di Taman Tasik Indah.

Vivekananda Vanessa

Tinjauan Astro AWANI mendapati terdapat kira-kira 17 rumah tidak berpenghuni yang turut menyumbang kepada peningkatan pembiakan nyamuk.

"Contohnya pemilik rumah-rumah ini meninggalkan rumah mereka begitu sahaja, tandas mereka mungkin bertakung air dan tidak ditutup menjadikannya sarang pembiakan nyamuk." jelas Andy.

Katanya ada pemilik rumah yang dihubungi memberi kerjasama memastikan tiada kawasan takungan air namun kebanyakannya tidak memghiraukan perkara itu.

Selain itu, kawasan tadahan air bersebelahan taman perumahan itu serta cuaca panas menjadi faktor kemungkinan penyebab kes denggi yang tinggi.

Dalam pada itu penduduk juga mengambil inisiatif meletak ubat jentik-jentik dalam longkang sebagaimana dinasihatkan pegawai kesihatan yang juga kerap melakukan penyemburan di kawasan berkenaan.

Selepas diisytiharkan sebagai kawasan wabak denggi tidak terkawal pihak berkuasa, kekerapan aktiviti semburan ditingkatkan kepada setiap 3 hari sekali di Taman Tasik Indah yang didiami lebih 300 keluarga.